HARI pertama sesi persekolahan yang bermula hari ini menyaksikan pelbagai ragam dalam kalangan kanak-kanak. Menurut seorang penjawat awam, Nuraini Azmi, 31, dari Seksyen 16, Shah Alam, anak sulungnya, Adam, 7, cukup teruja untuk ke sekolah hari ini. ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah terus patuhi SOP ketat, golongan B40 tidak dilupakan "Kejut sekejap sahaja dah bangun, tiada 'drama' mahupun tangisan tidak mahu ke sekolah, malah anak tidak sabar hendak jumpa kawan-kawan baharunya di sekolah pagi ini," ujarnya. Menurutnya, ketika berada di tadika, agak sukar untuk dia mengejutkan anaknya ke sekolah, namun kali ini sedikit berbeza apabila anaknya itu bangun seawal jam 6 pagi pada hari pertama ke sekolah rendah. “Sebelum tidur, malam tadi anak siap tanya dekat saya kelas mana abang akan masuk masa kat sekolah nanti, ramai tak kawan, nak masuk kelas apa dan macam-macam lagi soalan,” katanya. Nuraini berkata, cabaran hari pertama persekolahan sentiasa ada, namun dia dan suaminya, Izzat Ismail, 31, sentiasa berpesan kepada anak agar sentiasa menjaga diri dalam norma baharu. Nuraini (kanan) dan suami, Izzat Ismail menghantar Adam ke sekolah pada hari pertama persekolahan di SK Shah Alam, Seksyen 16. Foto: Sinar Harian. “Saya pesan supaya sentiasa pakai pelitup muka dan ikut prosedur operasi standard, belajar elok-elok di sekolah, air jangan kongsi dan jangan gaduh dengan kawan-kawan,” katanya ditemui di luar pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Shah Alam di Seksyen 16 di sini pada Isnin. Bagi Nurul Wahida Samsuri, 34, pula menyifatkan mentaliti anak-anak pada hari ini jauh berbeza berbanding sebelum ini kerana tiada lagi tangisan yang tidak mahu ke sekolah. “Alhamdulillah cabaran kali ini lebih mudah, saya sentiasa pesan dan terangkan pada anak, Muhamad Fateh Muhamad Fakri, 7, hari ini dah sekolah dan persekitarannya tidak sama macam di tadika. “Saya hantar dia turun dan terus masuk ke sekolah, tak perlu tunggu sebab nampak dia gembira dan teruja walaupun hari pertama sekolah,” katanya yang tinggal di kuarters kerajaan di Seksyen 16. Nurul Wahida (kanan) menenangkan anaknya, Muhamad Fateh pada hari pertama persekolahan. Foto: Sinar Harian. Sementara itu, Mohd Zaki Ali, 38, dari Seksyen 15, berkata, anak perempuannya juga tidak banyak karenah untuk ke sekolah sebaliknya bangun sendiri dan bersiap seawal jam 6.30 pagi. “Hari ni dia bangun sendiri, tak perlu kejutkan dia walaupun malam tadi lewat tidur, ini terbukti dia tidak sabar untuk mulakan persekolahan baharu di sekolah rendah,” katanya. Bagaimanapun, Mohd Zaki berkata, dia sentiasa berpesan kepada anaknya bahawa situasi di sekolah rendah berbeza berbanding tadika dan akan ada ramai kawan-kawan baharu dan ramai cikgu. “Budak zaman sekarang dah tiada situasi menangis, mak ayah dah ajar dan maklum kepada anak-anak sejak awal lagi," jelasnya. - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI