suria

SEDA Malaysia terus komited... bukti 'tulang belakang' industri tenaga lestari negara

SEDA Malaysia turut menunjukkan contoh penggunaan TBB melalui pemasangan 16kW sistem solar PV di bumbung pejabatnyayang bertempat di Galeria PjH, Putrajaya.

PELBAGAI inisiatif dilaksanakan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sejak ditubuhkan sedekad lalu bagi memenuhi aspirasi nasional memperluas penggunaan tenaga lestari.

Sejak ditubuhkan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) pada 1 September 2011, pelbagai usaha telah diperkenalkan yang bukan sahaja terhad kepada pelaksanaan program tenaga boleh baharu (TBB) malahan merangkumi langkah menggalakkan inisiatif cekap tenaga.

Pada 30 Disember 2021, KeTSA melalui SEDA Malaysia memuktamadkan Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) 2035 bagi memacu dan memberi panduan kepada industri tempatan dalam usaha mencapai sasaran TBB ke arah mewujudkan sektor tenaga yang rendah karbon.

MyRER mengunjurkan kapasiti campuran TBB dalam bekalan elektrik negara sebanyak 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus pada 2035.

Pengunjuran kapasiti TBB dapat menyumbang kepada pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45 peratus pada 2023 seperti ditetapkan Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC).

ARTIKEL BERKAITAN: IWK bersama KASA bangunkan inisiatif air pulih guna sebagai sumber alternatif air negara

ARTIKEL BERKAITAN: Tarif Air Perlu Dinaikkan - KeTTHA

NDC merupakan pelan tindakan global berhubung iklim untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan impak iklim kepada alam sekitar.

Selain itu, SEDA Malaysia juga menjadi agensi pelaksana bagi pelbagai program yang diperkenalkan oleh kerajaan antaranya Mekanisme Tarif Galakan (FiT).

FiT bertujuan menjadi pemangkin pembangunan industri TBB di negara ini dan seterusnya membolehkan manfaat pelaburan jangka panjang yang kukuh untuk individu, syarikat serta negara secara umumnya.

Setakat Disember 2021, kapasiti keseluruhan projek yang sedang beroperasi di bawah FiT adalah 596.71 Megawatt (MW).

Di samping itu, Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) turut diperkenalkan pada November 2016, bertujuan menggalakkan penggunaan sumber TBB khususnya tenaga suria di negara ini menerusi penjanaan tenaga elektrik dari solar panel.

Program NEM 3.0 telah diumumkan pada 29 November 2020 dengan 500MW kuota dibuka kepada tiga kategori: NEM Rakyat 100MW, NEM GoMEn (Kerajaan) 100MW, NOVA 300MW. Pada Oktober 2021, kerajaan telah mengumumkan penambahan kuota NOVA sebanyak 300MW berdasarkan sambutan yang memberangsangkan. Setakat Disember 2021, sejumlah 294.28MW kuota telah diluluskan bagi program NEM 3.0 ini.

Pada tahun lalu, SEDA Malaysia turut melaksanakan program ‘Sustainability Achieved via Energy Efficiency’ (SAVE) 2.0 bagi menggalakkan amalan cekap tenaga yang dapat menjimatkan bil elektrik dalam kalangan pengguna.

Menerusi program itu, pengguna akan menerima e-rebat sebanyak RM200 bagi pembelian penyaman udara atau peti sejuk cekap tenaga bertaraf empat atau lima bintang.

Hasil daripada program itu menyaksikan penjimatan bil elektrik sebanyak RM21.8 juta dengan pengurangan 38.3 kilotan pelepasan karbon direkodkan.

Program tersebut diteruskan dengan SAVE 3.0 pada tahun ini dengan penambahan peralatan elektrik cekap tenaga seperti peti sejuk, mesin basuh, televisyen, periuk elektrik dan ketuhar gelombang mikro.

Screenshot 2022-03-21 171844

INISIATIF yang dijalankan SEDA Malaysia sejak sedekad lalu.



Dalam pada itu, SEDA Malaysia turut menyediakan pelbagai latihan berkaitan pembangunan sumber manusia dalam industri tenaga lestari khususnya dalam dua bidang utama iaitu sumber tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga.

Seramai lebih 5,000 peserta mengambil bahagian dalam latihan atau program yang disediakan dari 2011 hingga 2021.

Satu lagi kayu pengukur kepada kejayaan SEDA Malaysia adalah melalui Program Penilaian dan Program Pensijilan Prestasi Bangunan Rendah Karbon-GreenPASS.Sebanyak 135 permohonan bangunan di Malaysia telah diluluskan dengan jumlah penjimatan tenaga sebanyak 1,218.8 Gigawatt-jam (GWH), bersamaan dengan 84,173 tan pengurangan pelepasan karbon.

Walaupun mengalami pelbagai cabaran membangunkan TBB secara menyeluruh, antaranya penularan pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu, usaha SEDA Malaysia untuk meningkatkan peralihan tenaga bagi menangani perubahan iklim dan isu pelepasan gas rumah hijau tetap diteruskan.

Komitmen dan sumbangan SEDA Malaysia bukan sahaja dapat memastikan kelestarian alam sekitar terus dijaga, bahkan memberi nilai tambah kepada pembangunan sumber manusia, kemajuan industri TBB serta pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga selari dengan usaha global bagi mempercepatkan peralihan tenaga sekali gus menangani perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain