suria

Kerahsiaan data terjamin, kerajaan tak pernah jual MySejahtera kepada syarikat swasta - KJ

Menurut KJ, segala data yang diterima aplikasi itu juga merupakan milik kerajaan dan KKM. Foto: BERNAMA.

APLIKASI MySejahtera dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pemilik utama, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Kesihatan berkata, segala data yang diterima aplikasi itu juga merupakan milik kerajaan dan KKM.

ARTIKEL BERKAITAN: Daftar derma organ mungkin boleh dibuat menerusi MySejahtera tidak lama lagi - KJ

"Kerahsiaan data adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi," ujarnya pada Ahad petang.

Tambah Khairy, kerajaan tidak pernah menjual aplikasi itu kepada mana-mana syarikat swasta sebagaimana dakwaan yang dibangkitkan baru-baru ini.

"KKM ini menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta. Pada 26 November 2021, pihak kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi ini untuk pengurusan kesihatan awam negara," ujarnya.

Sebelum ini, timbul kebimbangan berikutan laporan bahawa MySejahtera akan dijual kepada sebuah syarikat swasta.

Ramai netizen melalui media sosial untuk menyatakan kebimbangan mereka bahawa maklumat peribadi dan log aktiviti harian boleh didedahkan atau disalahgunakan.

MySejahtera dicipta oleh KPISoft sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CRS). Sejak itu, ia telah menjadi sebahagian penting dalam sistem kesihatan negara.

Pada November, Kabinet dilaporkan bersetuju untuk menjual aplikasi itu kepada syarikat swasta melalui rundingan terus.

Pada bulan Disember, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan agar kerajaan mengambil alih aplikasi itu.

Pegawai Kementerian Kesihatan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan PAC kemudian berkata MySejahtera tidak mempunyai kaitan dengan KPISoft, yang telah menukar namanya kepada Entomo.

Bagaimanapun, dalam catatan Facebook pada Ahad, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dakwaan bahawa kedua-dua syarikat itu tidak berhubung mesti disiasat. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain