PERNAHKAH anda dengar mengenai fenomena tengah hari tanpa bayang? Fenomena itu berlaku susulan peristiwa Ekuinoks Isnin lepas, iaitu matahari berada tepat di atas garisan Khatulistiwa. Di Malaysia pada hari ini, Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam serta beberapa bandar lain turut mengalami fenomena tersebut. Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba, Ekuinoks juga menandakan perubahan musim iaitu bermula musim bunga di hemisfera utara bumi manakala di hemisfera selatan bumi akan mula mengalami musim luruh. "Semasa peristiwa Ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam," katanya. "Fenomena ini dipanggil fenomena tengah hari tanpa bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepala setiap orang di atas sepanjang garisan Khatulistiwa," katanya. Beliau berkata, bayang kepala dan badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi. "Fenomena tanpa bayang di Kuala Lumpur dan Putrajaya akan berlaku jam 1.19 petang manakala Shah Alam, 1.20 petang," katanya. Antara beberapa kawasan lain yang turut berlaku fenomena itu pada Isnin ialah Batu Caves jam 1.19 petang, Bintulu (12.34), Nenasi (1.12), Kuala Klawang (1.18). Dr Adham berkata, Malaysia mula mengalami fenomena berkenaan pada Rabu lepas di Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor. Ia diikuti bandar lain pada tarikh berikutnya sehingga ke bandar terakhir iaitu Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April. "Selepas itu matahari akan semakin teranjak ke latitud lebih ke utara iaitu ke negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja," katanya. - Sinar Harian. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI