TIDAK timbul isu penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta, tegas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Jelas Khairy, sebaliknya apa yang berlaku adalah pemilikan MySejahtera dipindahkan sepenuhnya daripada agensi kerajaan lain kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Beliau berkata, kerajaan juga tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada KPISOFT (M) Sdn Bhd iaitu syarikat yang menyediakan aplikasi tersebut memandangkan ia dilaksanakan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk tempoh setahun bermula 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021. ARTIKEL BERKAITAN: MySejahtera masih perlu digunakan untuk kesihatan awam - Khairy "Pada 26 November 2021, satu Memorandum Jemaah Menteri oleh Jabatan Perdana Menteri (kementerian bertanggungjawab bagi Majlis Keselamatan Negara) telah dibincangkan yang akhirnya dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri agar pemilikan aplikasi MySejahtera dipindahkan daripada MKN kepada KKM. "Ia bertujuan memudahkan pengoperasian sistem, pemantauan dan pengesanan kontak serta memperkasa hebahan tentang kesihatan awam. "Setelah tamat tempoh CSR tersebut, Jemaah Menteri pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya," katanya ketika menggulung perbahasaan usul berhubung aplikasi MySejahtera di Dewan Negara pada Khamis. Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan kemudian meneruskan kerjasama dengan syarikat itu dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga ke hari ini. "Saya berpandangan adalah wajar untuk KKM mengambil alih sepenuhnya pengendalian dan operasi MySejahtera memandangkan fungsi utama MySejahtera serta data yang diperolehi menerusi aplikasi ini merupakan data berkaitan kesihatan," ujarnya. Mengulas lanjut, Khairy berkata, selaras dengan keputusan jemaah menteri ini juga, satu Jawatankuasa Pemandu telah ditubuhkan yang dipengerusikannya dan dianggotai pelbagai agensi berkepentingan seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan beberapa pihak lain bagi tujuan mengadakan rundingan bersama syarikat pengendali MySejahtera. Menurutnya, jawatankuasa Pemandu itu juga akan membincangkan tentang hala tuju aplikasi MySejahtera selepas ini lebih-lebih lagi selepas peralihan fasa peralihan pandemik kepada fasa endemik. Sementara itu, dalam penggulungan sama, Khairy turut mengulangi kenyataan bahawa data dan maklumat yang diperolehi menerusi penggunaan aplikasi MySejahtera adalah hak milik penuh dan mutlak kerajaan. "Saya ingin memberi jaminan bahawa segala data yang tersimpan di dalam pangkalan data MySejahtera adalah terpelihara dan hanya bagi tujuan kawalan pandemik oleh KKM sahaja," ujarnya lagi. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI