SEORANG lelaki dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada Jumaat selepas didapati bersalah merogol isteri rakannya, Januari lalu. Tertuduh, Zul Hafiqhafizi Zakaria, 25, dijatuhkan hukuman berkenaan oleh Hakim Nariman Badruddin selepas mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan. Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa berusia 26 tahun kira-kira pukul 4.20 pagi di sebuah rumah di Merlimau pada 21 Januari 2022. ARTIKEL BERKAITAN: Rogol Isteri Rakan: Anggota Tentera Dipenjara, Sebat Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan dikenakan sebat, jika sabit kesalahan. Zul Hafiqhafizi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ke atasnya diringankan. Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon agar hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira tertuduh merupakan kenalan suami mangsa dan tahu suami wanita itu sedang menjalani hukuman penjara. Tambahnya, dalam kejadian itu mangsa sedang sarat mengandung dan jenayah dilakukan meninggalkan kesan trauma serta gangguan emosi sehingga wanita tersebut kini malu untuk berhadapan dengan keluarga terutama suaminya. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 24 Januari lalu dan dikenakan tiga sebatan. Mengikut fakta kes, mangsa yang sedang tidur tiba-tiba didatangi tertuduh yang menutup muka menggunakan kain putih. Tertuduh kemudian mengugut mangsa menggunakan pisau dan menyuruhnya menanggalkan pakaian sebelum memperkosanya. Ketika kejadian wanita itu sedang sarat mengandung tujuh bulan dan tinggal seorang diri kerana suaminya sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah. - SINAR HARIAN Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI