suria

Padah seludup mercun! Seorang lelaki ditahan di rumahnya, mercun bernilai RM20,745 dirampas

Mercun bola dirampas PGA7. - Gambar hiasan

FAKTOR permintaan tinggi dalam bulan Ramadan mendorong seorang lelaki menyeludup masuk mercun dari negara jiran.

Bagaimanapun, tindakannya itu berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA7) hasil maklumat orang awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kantoi seludup emas 291 gram dalam rambut palsu, penumpang ditahan di lapangan terbang

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan pada kira-kira pukul 8 malam itu menemukan 48 bungkusan dan 273 kotak mercun bernilai RM20,745 di dalam rumah suspek di Kampung Bunut Payung, Kota Bharu di Kelantan.

Beliau berkata, lelaki berusia 34 tahun yang mengaku pemilik rumah tersebut kemudiannya ditahan.

"Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu termasuk di pasar malam Wakaf Che Yeh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata, penjualan mercun dalam bulan puasa adalah atas faktor permintaan tinggi, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali mengeluarkan larangan.

Katanya, harga mercun didapati meningkat sehingga dua kali ganda kerana kesukaran untuk dibawa masuk ke negara ini ekoran kawalan ketat oleh agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand.

"Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, PGA7 akan terus menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara, terutama menjelang musim perayaan, kerana permintaan kepada barang-barang seludup (kontraban) dijangka meningkat. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain