suria

Seret anjing: Polis rakam percakapan ibu, anak lelaki

Video anjing diseret kereta di taman perumahan di Jalan Emas 16.

POLIS telah merakam kenyataan seorang ibu dan anak lelakinya selepas tular satu video yang menunjukkan seekor anjing ditarik di sebelah kereta yang sedang bergerak.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Utara Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, video berdurasi sembilan saat yang tular di media sosial pada Sabtu (9 April), menunjukkan anjing itu ditarik oleh seorang individu yang duduk di tempat duduk penumpang kereta putih itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam, tak waras! Anjing meronta atas jalan diseret kereta, orang ramai buru individu dalam Myvi putih

Beliau berkata, kejadian berlaku di kawasan perumahan di Taman Sri Skudai dan polis berjaya mengenal pasti lelaki berusia 34 tahun dan ibunya berusia 61 tahun.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baru Utara untuk disoal siasat dan menurut suspek, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang sehari sebelumnya.

"Anjing milik suspek itu rupa-rupanya telah hilang sebelum ini dan kemudian ditemui di kawasan perumahan itu.

"Suspek lelaki tidak mahu membenarkan anjing itu masuk ke dalam kereta milik abang iparnya kerana haiwan itu agak kotor dan mereka tinggal berhampiran.

"Ibunya memutuskan untuk mengikat tali pada anjing itu melalui tingkap kereta manakala lelaki itu memandu kenderaan itu perlahan-lahan dengan anjing itu berlari di sebelahnya," katanya.

ACP Rupiah menambah, suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka direkodkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan/Seksyen 44(1) Akta Haiwan 1953.

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk tindakan susulan.

Beliau turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baru Utara di talian 07-5563 122. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain