suria

Miliki air ketum, Lans Koperal wanita dihadapkan ke mahkamah

Tertuduh (bertudung hitam) bersama empat rakannya dikawal polis menuju ke bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu. Foto: Sinar Harian

SEORANG anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal yang juga ibu tunggal kepada dua anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Isnin, atas dua pertuduhan memiliki air ketum.

Tertuduh, Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, dihadapkan ke mahkamah bersama empat lagi rakan iaitu Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23, pekerja kedai kosmetik; Anis Nagiehah Muhammad Anggelan, 27, berniaga dalam talian; Bidah Napi, 30, jurujual dalam talian dan Wan Muhammad Alif Wan Suphrach @ Wan Yussoff, 20, yang bekerja sendiri.

Bagaimanapun kelima-lima mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis mengaku tak bersalah rogol, lakukan seks luar tabii terhadap tahanan wanita

Mereka didakwa secara bersama-sama memiliki 1.5 liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian, pada pukul 3.25 pagi, 7 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki satu liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

Sementara itu, Wan Muhammad Alif turut berdepan pertuduhan secara berasingan memiliki satu liter cecair mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di tempat letak kereta di belakang berek polis Kubang Kerian, pada masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh tersebut juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dan dibacakan mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Sebelumnya, Nursyafiqa mencadangkan jaminan berjumlah RM 8,000 bagi kesemua tertuduh kecuali Wan Muhammad Alif sebanyak RM 14,000.

Intan Nor Nadhirah mengemukakan rayuan terhadap semua anak guamnya agar jumlah jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan Wan Muhammad Alif diikat jamin RM 7,500 dengan dua penjamin manakala yang lain RM 4,500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan sebutan semula pada 13 Jun depan untuk serahan dokumen. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain