DUA lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan, Lebuh Raya Plus EDL Johor Bahru, Johor pada malam Ahad. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azhar Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 9.13 malam. ARTIKEL BERKAITAN: Tragis... pemandu maut tersepit selepas kereta terbabas, badan turut terbakar "Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dengan sebuah lori jenis Daihatsu tiga tan. Terdapat dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu lori dan penumpang hadapan kereta tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Isnin. Menurut Khairul Azhar, mangsa yang meninggal dunia ialah penumpang kereta, K Pratep, 23, dan pemandu lori, R Sharan Raja, 26, manakala pemandu kereta iaitu seorang lelaki berusia 50-an selamat. Katanya, pihak bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. Tambah beliau, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 10.11 malam. Seramai lima anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Khidmat Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian. - Sinar Harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI