suria

Tragedi berdarah sebelum berbuka puasa... Lelaki tetak 4 ahli keluarga termasuk isteri, ibu mentua

Suspek yang menetak empat ahli keluarganya kini sedang diburu pihak polis. Gambar hiasan

POLIS sedang memburu seorang lelaki berusia 38 tahun yang menghilangkan diri selepas didakwa menetak empat ahli keluarga termasuk isteri dan ibu mentuanya.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, suspek, Mohd Adi Hashim, turut menggunakan parang untuk menetak dua adik iparnya.

Kejadian tersebut berlaku di Kampung Sedili Kecil, Kota Tinggi pada pukul 7.11 malam, Khamis (14 April).

ARTIKEL BERKAITAN: Tetak ibu bapa hingga maut, penganggur berdepan hukuman mati

"Suspek tiba-tiba berang dan mula menetak empat mangsa yang berada di dalam rumah dan melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki keretanya.

"Dua anak kecil suspek, yang ketika itu juga berada di dalam rumah, menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan," ujar beliau.

Katanya, keempat-empat mangsa cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kota Tinggi.

"Kesemua mereka berada dalam keadaan stabil," katanya lagi.

Menurutnya, punca kejadian tidak diketahui dan masih dalam siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Superintendan Hussin menggesa mereka yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek agar menghubungi polis di talian 07-8831 222 atau ke balai polis berhampiran.

Talian polis Johor boleh dihubungi di 07-221 2999. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain