suria

Lari naik motosikal, pasangan kekasih curi gelang emas RM10,000 akhirnya mengaku bersalah

Polis melancarkan gerakan memburu pasangan itu selepas wanita tersebut melarikan gelang bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai.

SEPASANG kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan atas pertuduhan mencuri gelang emas dari sebuah kedai barang kemas.

Muhammad Efendi Sanusi Gunarto, 24 dan Nur Sabrina Khairul, 22, mengaku melakukan jenayah itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan hakim Norma Ismail.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita Hamil Enam Bulan Ditahan Selepas Curi Gelang Emas

Mereka bersama-sama didakwa mencuri gelang emas seberat 36.76g dari Kedai Emas Pilah sekitar jam 3.45 petang pada 8 April lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 perundangan sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Norma berkata beliau akan menyampaikan penghakiman pada 25 April.

Dia membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua Muhammad Efendi dan Nur Sabrina tidak dapat mengemukakan wang jaminan itu.

Untuk rekod, polis melancarkan gerakan memburu pasangan itu selepas wanita tersebut melarikan gelang bernilai kira-kira RM10,000 dari sebuah kedai.

Dia melarikan diri bersama suspek lelaki menaiki motosikal, yang tidak mempunyai plat pendaftaran.

Polis menahan suspek di Pudu, Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam pada 14 April lalu. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain