suria

Uncle kentang cuba-cuba puasa tapi tak mampu bertahan... Tetap sibuk urus agihan bantuan sepanjang Ramadan

Jadual harian Uncle Kentang padat dengan aktiviti kebajikan sepanjang Ramadan. Foto: Facebook Kuan Chee Heng

SIAPA sahaja yang tidak kenal dengan lelaki bernama Uncle Kentang ini?

Aktivis ini boleh dikatakan 'sebaris' dengan sosok popular yang sinonim dengan aktiviti kebajikan seperti Ustaz Ebit Lew, Raja Shamri Raja Hussin, Cikgu Fadli Salleh, Natipah Abu dan ramai lagi yang sudah mendapat tempat dalam hati masyarakat.

Lihat sahaja profil Facebooknya, penuh dengan update mengenai aktiviti kebajikan yang disertainya dan hebahan bagi mengumpul sumbangan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN: Budu saja tak cukup! Instafamous ikut suami kerja di luar negara sanggup belajar buat kuih akok untuk berbuka

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 5 tahun, pemuda pulangkan kereta sewa RM1 sebulan diguna untuk ke kelas... Uncle Kentang terkejut dah bergelar engineer!

Berkongsi cerita dengan mStar, Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng berkata, aktivitinya pada bulan Ramadan tetap padat seperti bulan-bulan sebelumnya.

Malah Uncle Kentang menambah, pasukan kebajikannya juga melipatgandakan bantuan sedaya upaya yang mungkin kerana mahu golongan yang kurang bernasib baik tetap dapat meraikan Ramadan dengan gembira.

kentang 2

Uncle Kentang melayani kanak-kanak istimewa pada majlis berbuka puasa.

"Saya macam biasa, sibuk setiap hari. Hari-hari telefon bimbit tak lekang dengan mesej, WhatsApp dan panggilan telefon daripada mereka yang meminta bantuan.

"Ada dua sasaran yang kita fokus iaitu secara berkelompok dan individu. Kita banyak terlibat dengan sasaran berkelompok sebab bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya.

"Tapi kita juga cuba yang terbaik untuk bantu individu seperti yang tergolong dalam kategori asnaf, orang sakit atau orang susah. Bukan semua kita bantu tapi kita akan buat temuduga juga.

"Sumbangan dilakukan dalam bentuk persiapan seperti baju raya, memberi sokongan melalui sedikit dana... pelajar miskin kita bagi angpau, bagi makanan.

kentang 1

Manja (kiri) dan Azizah yang sudah dianggap seperti anak sendiri oleh Uncle Kentang.

"Yang penting kita pastikan yang susah ada bekalan elektrik dan air. Ini kita harap pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertimbang rasa dan bertolak ansur," katanya.

Bagaimanapun Uncle Kentang berkata, keadaan kesihatannya yang sedikit terjejas tidak mengizinkannya untuk aktif turun ke lapangan seperti mana sebelum ini.

"Buat masa ini saya banyak memantau dari rumah, kurang aktif ke lapangan sebab kurang sihat. Tapi saya tetap melayani WhatsApp dan talian telefon... telefon bimbit saya masih sibuk macam biasa," ujar bekas pengawai polis ini lagi.

Turut teruja setiap kali kedatangan bulan Ramadan, Uncle Kentang mendedahkan dia juga tidak terkecuali cuba berpuasa seperti penganut Islam yang lain.

Hari-hari telefon bimbit tak lekang dengan mesej, WhatsApp dan panggilan telefon daripada mereka yang meminta bantuan.

UNCLE KENTANG

AKTIVIS MASYARAKAT

"Ya saya pernah cuba berpuasa ketika Ramadan. Memang sukar bagi saya, dahaga yang susah sikit... tahan makan atau benda lain semua boleh. Tapi berjaya juga puasa penuh sehingga waktu berbuka.

"Tapi bukan setiap hari berturut-turut, ikut kelapangan masa dan jika jadual tak padat. Tapi itu kisah Ramadan tahun-tahun sebelum ini.

"Tahun ini kesihatan saya kurang memuaskan... masih belum berkesempatan untuk cuba berpuasa kerana saya perlu makan ubat selalu.

"Tapi satu perkara yang wajib buat setiap tahun adalah berbuka puasa dengan dua anak angkat saya iaitu Manja dan Azizah. Sejak lebih 10 tahun lalu, saya tak 'missed' berbuat demikian.

"Mereka ini adalah anak daripada keluarga susah yang pernah saya bantu dan dah anggap macam anak sendiri. Mereka pun panggil saya ayah. Setiap tahun juga saya belikan mereka pakaian raya dan duit raya," katanya lagi.

kentang 3

Uncle Kentang turun padang bertemu dengan AJK sebuah masjid.

Berbaki kurang 10 hari sebelum umat Islam merayakan Aidilfitri, Uncle Kentang turut menitipkan nasihat khususnya buat anak perantau yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya kepada semua. Pandu dengan selamat ketika balik kampung, jangan gopoh. Rancanglah perjalanan masing-masing kerana dijangka tahun ini bilangan kenderaan di jalan raya akan bertambah," akhirinya.

Sedikit maklumat mengenai Uncle Kentang, lelaki ini dikenali kerana aktif melakukan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan dan sinonim dengan beberapa inisiatif 'tidak masuk akal' seperti Teksi 10 sen, Kedai 10 sen, Ambulans RM1, Rumah Transit RM1, Kereta Sewa RM1 dan banyak lagi.

Inisiatif-inisiatif berkenaan adalah ideanya untuk meringankan bebanan khususnya buat golongan B40 yang kurang berkemampuan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain