suria

Walaupun perit, keluarga terima hukuman mati ke atas Nagaenthran dengan berat hati - Kakak

Mendiang Nagaenthran akan disemadikan pada Jumaat di Buntong.

"KAMI menerima hukuman ke atas Nagaenthran dengan hati yang berat," kata Sarmila Dharmalingam.

Sarmila, 36, yang merupakan kakak sulung Nagaenthran berkata, keluarganya tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut.

"Dia sudah tidak bersama kita. Memang perit tetapi kami terima takdir ini.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat di Malaysia dan Singapura yang telah membantu, menyokong dan mendoakan Nagaenthran, termasuk dari platform media sosial," katanya kepada pemberita ketika ditemui rumah keluarganya di Tanjung Rambutan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bergambar dengan pakaian kegemaran, permintaan terakhir mendiang Nagaenthran ditunaikan sebelum jalani hukuman mati - Aktivis

Bercerita lebih lanjut, Sarmila berkata ibunya berada di dalam bas ketika hukuman mati ke atas adiknya sedang dijalankan.

"Dia menaiki bas ke Singapura pada waktu pagi bersama dua saudara mara, berharap mungkin ada perubahan pada saat akhir hukuman terhadap hukumannya.

"Buat masa ini, kami cuba mengajaknya bercakap dan makan sedikit," katanya.

Ibu Nagaenthran, Panchalai Supermaniam, terlalu keberatan untuk berbual dan dia ditemani saudara mara mereka di rumah.

Sarmila berkata, kali terakhir dia bertemu mendiang adiknya pada Ahad lalu (24 April).

"Bersama dua adik-beradik dan suami, kami bertemu dengannya dan berbincang sedikit tentang beberapa hal peribadi.

"Ketika meningkat dewasa, mendiang merupakan seorang yang pendiam dan lebih merendah diri.

"Beberapa hari sebelum Deepavali tahun lalu, kami membawanya pakaian dengan kasut. Dia teragak-agak untuk memakai kasut sukan itu kerana ia terlalu besar untuknya.

"Tetapi kami beritahu bahawa ini adalah trend semasa dan mendiang kelihatan sangat gembira memakainya. Pakaian itu ada bersama kami sekarang dan masih ada bau mendiang," katanya lagi.

Upacara pengebumian Nagaenthran akan berlangsung pada Jumaat (29 April), di mana dia akan disemadikan di Buntong sekitar pukul 2 petang.

Nagaenthran, 34, dijatuhkan hukuman mati selepas mahkamah di Singapura menolak rayuan terakhirnya yang didapati bersalah mengedar dadah.

Nagaentharan ditahan pada 2009 dan disabitkan kesalahan mengedar 42.72g heroin pada 2010, yang membawa hukuman mati mandatori. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain