suria

Ibu pasrah ‘feeling tak sampai’ sambut lebaran di Sweden, si anak pula ‘rasa kaya’ kalau balik beraya di Malaysia

Siti Safuraa meraikan Aidilfitri di Sweden pada tahun ini.

BAGI mereka yang menyambut Aidilfitri di bumi asing, sudah pasti sambutan lebaran tidak semeriah tanah air sendiri.

Begitulah yang dirasai oleh wanita kelahiran Besut, Terengganu ini.

Selama enam tahun menetap di Stockholm, Sweden selepas mendirikan rumah tangga dengan jejaka Rusia, Siti Safuraa Hamzah, 38, berkata boleh dikatakan hampir saban tahun dia dan keluarga kecilnya menyambut Aidilfitri di negara Scandavania itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu sinonim kontroversi, kelahiran Alisha Puteri buat Andika Putera lebih kuat dan matang... teruja balik beraya di Taiping

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 35 pasang baju Hello Kitty viral sampai Indonesia, usahawan kosmetik berhabis lebih RM25,000 busana raya kali ini

"Cuma tahun lepas saya berkesempatan pulang ke Malaysia bersama dan menikmati suasana puasa dan beraya! Sangat seronok, Alhamdulillah.

"Anak-anak, Dhuhaa Sophea Stumbrys dan Amirah Al-Imaan Stumbrys masih tak dapat menghayati apa itu raya yang sebenar, lebih-lebih lagi kami banyak beraya di Sweden.

ct 1

Foto Aidilfitri 2022 keluarga Siti Safuraa.

"Tapi tahun lepas bila saya bawa mereka pulang, nampak mereka gembira dan seronok, cuma tak adalah mereka minta balik Malaysia raya kali ini.

"Mereka cuma mengimbau kenangan beraya di kampung halaman mommy di Malaysia. Mereka cakap 'I am rich when I celebrate Eid at Malaysia' sebab dapat duit raya banyak... dekat sini tiada," ceritanya kepada mStar.

Lima kali menyambut Aidilfitri di Sweden selepas mengikut suami, Paulius Stumbrys, 39, yang merupakan ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pembinaan, Siti Safuraa berkata suasana sambutan di sana sangat jauh berbeza dengan Malaysia.

ct 3

Barangan makanan yang dikirim oleh keluarganya dari Malaysia.

"Tiada apa yang menarik memandangkan sambutan Syawal di sini tidak meriah seperti di Malaysia. Apabila kita berada di negara yang minoriti Muslim, feeling tu tak sampai.

"Kita tak dengar takbir raya waktu pagi macam di kampung, tiada orang datang ketuk pintu hantar juadah raya, tiada budak-budak atau rakan-rakan datang bertandang ke rumah.

"Saya ada juga kawan-kawan dari lain negara, kadang-kadang mereka jemput ke rumah dan menikmati juadah negara mereka. Cuma tidaklah beraya dari satu rumah ke rumah yang lain.

Sambutan Syawal di sini tidak meriah seperti di Malaysia. Apabila kita berada di negara yang minoriti Muslim, feeling tu tak sampai.

SITI SAFURAA HAMZAH

"Biasanya pada 1 Syawal, kami akan ke masjid untuk solat raya. Selepas itu akan mengunjungi kedutaan Malaysia jika mereka ada buat open house. Di sana boleh jumpa orang-orang Malaysia dan merasa juadah Malaysia yang dirindui," ujar ibu kepada dua cahaya mata berusia lima dan tiga tahun ini.

Meskipun berada di negara asing, Siti Safuraa berkata dia tetap bersemangat membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri setiap tahun, antaranya cuba membuat sendiri biskut raya dan menyediakan juadah untuk dinikmati ketika raya.

"Sama seperti tahun sebelumnya, tahun ini juadah raya saya masak sendiri sebab di sini bukan senang untuk tempah seperti di negara kita.

ct 2

Aidilfitri tahun lalu bersama keluarganya di Besut.

"Biasanya saya akan sediakan nasi dan lauk sama ada daging atau ayam serta beberapa kuih muih. Ketupat atau lemang bukan menu wajib tapi kalau ada stock lebih, saya akan rebus dan masak rendang," ujarnya yang kini sedang mengikuti pengajian Swedish Education (SFI).

Malah tambah Siti Safuraa, keluarganya juga tidak lupa mengirimkan baju raya, kuih raya serta stok barangan makanan dari Malaysia.

Tidak dapat menyembunyikan perasaan sayu kerana terkenangkan keluarga di kampung halaman setiap kali menjelang bulan Ramadan dan Syawal, Siti Safuraa berkata dia melihat perkara tersebut dari sudut positif.

ct 4

Rumah terbuka Kedutaan Malaysia di Sweden, beberapa tahun lalu.

"Menipu jika saya kata tidak rindu, cuma kena kuat dan sabar. Itulah dugaan anak-anak perantauan.

"Kami ada plan untuk pulang menetap di Malaysia dalam masa terdekat tapi masih dalam perbincangan lagi. Jadi tak tahu nak cakap apa keputusan terakhirnya dan bila.

"InsyaAllah suatu hari nanti kami akan pulang menetap di sana," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain