TANGGAL 3 Mei 2022 menjadi detik yang tidak akan dilupakan oleh tiga beradik ini apabila ibu bapa mereka meninggal dunia hanya selang 12 jam ketika umat Islam sedang bergembira menyambut hari raya. Farahana Mohd Fakri, 28, berkata, ibunya, Norsah Chik, 59, meninggal dunia selepas disahkan mengidap kanser usus tahap empat di rumah mereka di Guar Chempedak, Sungai Petani, kira-kira 8.50 pagi. Manakala bapanya, Mohd Fakri Abdullah, 60, pula meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) kira-kira 8.50 malam pada hari sama. ARTIKEL BERKAITAN: Remaja yatim piatu luah hajat, teringin sambut raya dengan ibu bapa... Dalam sebak, netizen doa moga dapat mentua baik hati "Walaupun sedih dengan pemergian dua insan tercinta dalam hidup kami, saya dan dua adik perempuan tetap reda dengan ketentuan Ilahi. "Cumanya, kami sedikit terkilan tidak sempat memberi hadiah kepada arwah bapa apabila dia dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada pada malam Sabtu lepas," katanya. Katanya, dia sempat beraya dengan arwah ibunya yang teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama mereka sekeluarga di kediamannya tahun ini. "Kami sempat beraya dengan ibu dan dia seronok apabila kanak-kanak datang beraya di rumah apabila siap meminta saya membuat status di laman sosial, malah arwah juga minta makan berhampirannya walaupun dia tidak menjamah makanan itu. "Dengan bapa, kami tidak sempat beraya memandangkan arwah ditidurkan ketika menerima rawatan di hospital berkenaan," katanya. Mengulas lanjut, Farahana berkata, ibunya pada awalnya dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Yan pada 5 April lalu dan kemudiannya terpaksa dipindahkan ke HSAH sebelum disahkan mengidap usus tahap empat oleh doktor. Jelasnya, doktor merancang melakukan pembedahan tetapi mereka tiga beradik memutuskan membawa ibu pulang dan menjaganya secara bergilir selepas berbincang. Rentetan itu, dia dan dua adik perempuannya menjaga ibu sehingga arwah menghembuskan nafas terakhir pada pagi Selasa sebelum dimaklumkan bapa pula meninggal dunia kira-kira selang 12 jam hari sama. "Saya nasihat sesiapa yang hendak hadiahkan apa-apa kepada keluarga supaya tidak menangguhkannya. Jikalau tidak cukup wang sekalipun, cukup raikan secara sederhana," katanya. Menurut Farahana, jenazah kedua-dua ibu bapanya dikebumikan bersebelahan meskipun telah berpisah pada 2018. Jenazah Allahyarhamah Norsah dikebumi selepas solat Asar di tanah perkuburan Islam Kampung Kolam, Guar Chempedak pada Selasa, manakala jenazah Allahyarham Mohd Fakri dikebumikan pada 12.10 tengah malam di lokasi sama. - SINAR HARIAN