KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang, kata Khairy Jamaluddin. Menurut Menteri Kesihatan, polis juga sedang melengkapkan siasatan mereka. "Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari ketua jabatan mendiang di Pulau Pinang. "@KKMPutrajaya akan menubuhkan sebuah ‘taskforce’ bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya ‘buli’ yang didakwa berlaku," ujarnya dalam ciapan pada Jumaat. Pada 4 Mei, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengesahkan sedang menyiasat kes seorang pegawai perubatan siswazah yang dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan di Jalan Datuk Keramat, pada 17 April lalu. Dia telah ditempatkan di Hospital Pulau Pinang sejak 4 April lalu. Ini dipercayai kematian kedua membabitkan doktor muda dalam tempoh dua tahun. Pada Disember 2020, seorang doktor yang telah meletak jawatan dari hospital yang sama juga dilaporkan meninggal dunia. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI