suria

Penunggang motosikal maut dirempuh MPV hilang kawalan

Perodua Alza dikatakan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.

NAHAS melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 9.8 Jalan Sua Betong -Air Kuning di Port Dickson, Negeri Sembilan awal pagi Sabtu mengakibatkan seorang pekerja ladang maut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut di lokasi kejadian.

ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang Y15ZR maut selepas terbabas di Jalan Lipis-Merapoh

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian tersebut melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dipandu wanita, 34 tahun, dua motosikal jenis Yamaha Y15 ZR ditunggang lelaki berusia 20 tahun dan mangsa lelaki berusia 33 tahun.

"Sebelum kejadian Perodua Alza dari arah Air Kuning Ke Sua Betong untuk ke tempat kerja di Hospital Port Dickson manakala dua motosikal berkenaan masing-masing dari Sua Betong ke Air Kuning.

"Setibanya di lokasi kejadian iaitu kawasan berselekoh Perodua Alza itu dipercayai telah hilang kawalan menyebabkannya berpusing dua kali dan masuk ke laluan motosikal tersebut sebelum berlaku perlanggaran," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, penunggang Yamaha Y15 ZR mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri selain patah paha kiri bagaimanapun seorang lagi penunggang maut di lokasi kejadian.

"Individu yang terselamat dan mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain