suria

Ceroboh bilik hotel: Pengawal keselamatan direman, positif dadah methaphetamine

Tangkap layar video bilik hotel diceroboh seorang lelaki, tular di media sosial.

SEORANG lelaki yang ditahan kerana menceroboh bilik penginapan di Hotel Perdana Kota Bharu, Kelantan pada 5 Mei lalu, didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek yang berumur awal 20an itu juga bekerja sebagai pengawal keselamatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Wanita trauma lelaki misteri muncul dari almari bilik hotel, ketukan pintu tengah malam cetus tanda tanya

"Dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan,

"Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dendan maksimum RM5,000 atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan, lewat malam Sabtu.

Mohd Rosdi turut menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

Tambahnya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membuat laporan polis bagi membantus siasatan atau menghubungi Sarjan Ahmad Hasani Abd Rahman di talian 010-9482287 atau 09-7752200.

Pada 5 Mei lalu, suspek dipercayai menceroboh sebuah bilik penginapan hotel kira-kira pukul 10.30 malam.

Kejadian itu kemudian ditularkan di media sosial bermula 7 Mei menerusi video berdurasi 1 minit 3 saat yang dimuat naik pemilik akaun TikTok Dobi Dina.

Terdahulu mStar melaporkan, mangsa yang dikenali sebagai Sarah berkata, seorang lelaki secara tiba-tiba muncul dari almari di bilik hotel yang diihuninya selepas dia pulang dari keluar makan bersama keluarga.

Menurut Sarah, dirinya masih trauma dan sukar tidur malam susulan kejadian yang berlaku.

Kenyataan Hotel Perdana.

Kenyataan Hotel Perdana.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Besar Hotel Perdana Kota Bharu, Mohd Iqmal Muslim menyifatkan insiden tersebut sebagai kejadian terpencil yang berlaku.

Katanya, pihak hotel bekerjasama penuh dengan polis dan telah bertemu dengan tetamu terlibat bagi menawarkan bantuan penuh berhubung insiden yang berlaku.

"Memandangkan ia berada dalam siasatan polis, kami tidak dapat mengulas lanjut.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan ingin memberi jaminan bahawa keselamatan tetamu hotel adalah keutamaan kami," katanya dalam kenyataan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain