BANK Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus, peningkatan pertama kadar sejak Julai 2020. Menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), BNM memaklumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut meningkat masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus. Peningkatan itu bagaimanapun tidak dijangkakan sebelum ini, apabila pakar-pakar ekonomi rata-rata mengunjurkan OPR akan kekal pada 1.75 untuk suku tahun ini, seperti dalam tinjauan yang dilakukan oleh organisasi media seperti Reuters dan Bloomberg. Menurut BNM, kenaikan kadar tersebut antara lain didorong oleh pembukaan semula ekonomi global dan penambahbaikan dalam pasaran buruh yang terus menyokong pemulihan aktiviti ekonomi. Ini sebahagiannya telah mengurangkan kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah penguatkuasaan yang ketat di China. "Tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak berikutan kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tegang dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di AS. Akibatnya, beberapa bank pusat dijangka melaraskan tetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas untuk mengurangkan tekanan inflasi. "Prospek pertumbuhan global akan terus terjejas oleh perkembangan sekitar konflik di Ukraine, COVID-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan turun naik pasaran kewangan," katanya. Bagi ekonomi Malaysia pula, ujar Bank Negara, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan. "Pasaran buruh terus ditingkatkan oleh kadar pengangguran yang lebih rendah, penyertaan buruh yang lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik. "Fasa peralihan endemik bermula 1 April lalu mengukuhkan aktiviti ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa. Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif. "Bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan kekal, termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang semakin meningkat, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk, dan perkembangan buruk sekitar Covid-19," katanya. Menurut Bank Negara, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada tahun 2022. Jelas BNM, prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutamanya daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah-langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI