PORTAL hiburan, gaya hidup dan berita terkini mStar berjaya meraih anugerah dalam D Awards 22 anjuran Persatuan Digital Malaysia (MDA). mStar, yang dimiliki oleh Star Media Group, merangkul anugerah Perak bagi kategori Penerbit Digital Terbaik (Best Digital Publisher of The Year) dalam satu majlis, Rabu malam. Mengulas mengenai kemenangan ini, Ketua Produk mStar Mohd Fuad Mohd Noor berkata, memperoleh anugerah yang sangat diiktiraf daripada MDA adalah satu penghormatan besar buat portal ini. "Setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh pasukan mStar yang terus menerus menyokong portal ini dengan penuh dedikasi sehingga mencapai kejayaan luar biasa sepanjang tahun lalu. "Kejayaan ini lebih manis dengan perkembangan dan kemajuan yang berterusan. Oleh itu, saya dengan rendah hati ingin menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pembaca setia mStar atas sokongan berterusan mereka," tambahnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Esther Ng turut mengucapkan tahniah kepada mStar atas usaha yang ditunjukkan selama ini. "Ini adalah satu penghormatan yang sangat besar. Pasukan kecil tetapi berjaya memberi impak besar dan kerja keras semuanya membuahkan hasil. Terima kasih kepada pembaca setia kami yang telah bersama sejak hari pertama. Kami akan terus memberikan yang terbaik kepada anda semua," tambahnya. Diadakan di Ruyi & Lyn, Bangsar Kuala Lumpur pada tahun ini, Anugerah MDA mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada bakat, agensi, jenama, penerbit dan penyedia perkhidmatan digital yang menerima dan menggunakan teknologi digital. Pada tahun ini, sebanyak 151 penyertaan diterima melibatkan 18 kategori. Dalam pada itu Ketua Pengarang mStar, Niezam Abdullah berkata, pencapaian yang diraih portal itu pada hari ini bukan kerja mudah kerana banyak cabaran yang dilalui terutamanya ketika perkembangan dunia digital semakin bertambah. Katanya, mStar bertuah kerana ketika dibangunkan pada 2005, tidak banyak portal yang menyediakan kandungan berita dan hiburan diperkenalkan. "Ketika itu persaingannya sedikit dan kami mampu memperkukuhkan jenama serta penyediaan kandungan yang lebih pantas untuk tatapan pembaca. Namun hari ini persaingannya sengit dan agak mencabar apabila kandungan yang dimuat dalam mStar dicedok oleh portal-portal atau bolg persendirian lain. Namun, ia bukan satu masalah kepada pasukan kami kerana akhirnya pembaca akan tetap mencari mStar untuk mendapat kandungan eksklusif," katanya. Selain pencapaian pada peringkat nasional, mStar juga turut diiktiraf pada peringkat antarabangsa apabila dianugerahkan Pingat Gangsa bagi Laman Web Gaya Hidup Terbaik Asia, Anugerah Media Digital Asia yang diadakan di Hong Kong pada 18 November 2015 anjuran World Association of Newspapers and News Publishers (WAN-Ifra). mStar juga menerima Anugerah Spark pada 18 Ogos 2016 untuk kecemerlangan media Asia Pasifik bawah kategori ‘Acara Terbaik Oleh Pemilik Media’ yang berlangsung di Singapura. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI