WALAUPUN ramai yang bimbang dengan kenaikan harga tepung gandum, namun seorang peniaga mengambil sikap lebih tenang. Buktinya, lelaki itu yang berniaga roti canai masih mengekalkan harganya 50 sen sekeping sejak lebih tiga dekad lalu. Bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat, Kuala Terengganu, Md Kamil Abdullah, tetap istiqamah menjual roti canai kosong pada harga tersebut sebagaimana yang dilakukan sejak tahun 1988. ARTIKEL BERKAITAN: Jual roti canai 50 sen sekeping, peniaga akui tak sampai hati naikkan harga... Syukur rezeki seadanya, tiada niat nak kaya Md Kamil yang berusia 64 tahun memberitahu, dia tidak berniat untuk menaikkan harga sebaliknya akan terus mengekalkannya sebagai tanda perkongsian rezeki bersama penduduk setempat. "Selagi hayat dikandung badan, saya akan terus menjual roti canai pada harga 50 sen sekeping. "Lagipun ini merupakan salah satu usaha saya bersama keluarga mengumpul saham akhirat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Padang Pak Amat, Jalan Jeram Pasu di sini pada Jumaat. Permintaan terhadap roti canai Md Kamil melebihi 1,000 biji setiap hari. Menurutnya, tindakan menjual roti canai dengan harga 50 sen menyebabkan dia tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan. Katanya, permintaan roti canai melebihi 1,000 keping setiap hari ketika ini apabila kebanyakan peniaga lain mulai menaikkan harga selepas berlakunya krisis tepung gandum. Md Kamil berkata, kebiasaan sebanyak 1,000 sahaja akan dijual, namun terpaksa ditambah agar tidak mengecewakan pelanggan. - Sinar Harian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI