suria

Gunung Jerai: Pemuda dakwa jumpa gua bentuk naga, naik tangga bunian... air di telaga rasa ‘lain sangat’

Tangkap layar video yang dikongsi menerusi TikTok.

LAPORAN mengenai aktiviti syirik yang dilakukan di Gunung Jerai, Kedah hangat menjadi perdebatan sejak beberapa hari lalu.

Malah, beberapa video memaparkan ritual amalan khurafat yang dipercayai dilakukan di atas Gunung Jerai turut tular menerusi aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular amalan khurafat di Gunung Jerai, JHEAIK jalankan siasatan

Terbaharu, seorang pemuda yang berkongsi video sedang mengambil air menggunakan botol plastik di sebuah perigi di gunung itu turut menjadi perhatian netizen.

"Time ni kami ambil air telaga Tok Sheikh, rasa lain sangat air dia dan dikatakan air ini sebagai penawar segala penyakit.

"Waktu Maghrib kami berjalan menuju ke air terjun yang guanya berbentuk naga. Dikhabarkan tempat tersebut adalah puteri bunian dan nenek kebayan mandi.

"Terjumpa pacat tak tahu mana dia datang. Besar sungguh pacat dia. Lepas Maghrib selepas kami mandi dan solat terus berjalan menuju jalan pulang dengan menaiki tangga bunian.

"Dan akhirnya kami selamat sampai juga. Alhamdulillah," ujarnya pada video tersebut.

Video yang dikongsi menerusi TikTok sejak sehari lalu meraih lebih 22,000 tontonan.

Malah, ia turut dihujani dengan pelbagai komen netizen yang bertelagah mengenai perbuatan berkenaan.

"Yang menyembuhkan segala penyakit itu Allah bang, betulkan tauhid kita dulu, ini ikhtiar sahaja.

jerai2

Laporan mStar mengenai ritual syirik di Gunung Jerai pada Ahad.

"Ada pula percaya air tu jadi penawar segala penyakit. Islam tak ajar umat dia jadi macam tu pun. Khurafat dan syirik kalau percaya macam tu.

"Tak boleh percaya air tu pengubat segala penyakit. Allahu, zaman sekarang.

"Hmm jangan buat benda pelik-pelik," tulis beberapa netizen.

Dalam pada itu, semakan mStar mendapati pemilik video telah memohon maaf dan mengakui tidak berniat untuk melakukan perbuatan syirik di gunung berkenaan.

"Sebelum tu, ingin memohon maaf ya dekat hampa. Tiada niat pun nak buat benda syirik. Apa-apa pun berserah pada Allah, Dia maha mengetahui," tulisnya di ruangan komen pada Isnin tengah hari.

Terdahulu, mStar pada Ahad melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman (JHEAIK) sedang menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan ritual amalan khurafat yang dipercayai dilakukan di atas Gunung Jerai.

"JHEAIK amat memandang berat dan sedang menyiasat aduan tersebut mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 atas kesalahan doktrin palsu dan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam," ujar Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd Yusri Md Daud.

Mohd Yusri berkata, jika sabit kesalahan, Seksyen 4 memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Tambahnya, Seksyen 7 Enakmen yang sama memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain