suria

Pemilik flat selera banglo berputih mata... Ini alasan MPAJ ambil tindakan roboh binaan haram

Tindakan bersepadu ini melibatkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguatkuasa MPAJ.

PEMILIK sebuah rumah flat berhadapan tindakan tegas apabila struktur tambahan yang dibina secara haram dirobohkan pihak berkuasa.

Menurut Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), pihaknya terpaksa merobohkan binaan haram yang dibina di Blok 4, Flat UTM, AU3/1, Ampang kerana bercanggah dengan Akta 133 dan Akta 757.

ARTIKEL BERKAITAN: Wah, siap ada balkoni! Ramai keliru tengok bangunan flat menumpang rumah ‘teres’ 2 tingkat, ada yang kata ini ‘B40 kayangan’

"Kesannya, MPAJ terpaksa memainkan peranan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk merobohkan struktur tambahan haram yang nyata menggunakan ruang harta bersama yang bukan hak mutlak pemilik tapi adalah dikongsi secara bersama.

"Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.

"Isu keselamatan penduduk sekitar juga perlu diambil kira sekiranya tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat oleh pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya," ujar MPAJ menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu lagi, penguatkuasaan di kediaman tersebut atas kesalahan membina struktur tambahan tanpa kebenaran telah dilaksanakan pada 25 Mei lalu.

Tindakan bersepadu ini melibatkan Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguatkuasa MPAJ.

"Tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133) berikutan tambahan struktur baharu di bahagian tepi dan belakang yang tidak dibenarkan bagi bangunan kediaman bertingkat.

"Sebarang penambahan struktur di luar petak pemilik adalah menjadi kesalahan," ujar kenyataan itu lagi.

Terdahulu, foto-foto memaparkan operasi merobohkan struktur binaan haram tersebut tular di media sosial sehingga menjadi perbualan netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain