suria

Edar dadah, tiga sahabat ke tali gantung

Tiga sahabat dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah pada tahun 2018. Foto: Sinar Harian

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu pada Ahad menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tiga lelaki selepas didapati bersalah mengedar 134.6 gram (g) dadah jenis metamphetamine, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan itu terhadap Mohd Nazri Mohamed, 38; Ismail Jusoh, 47, dan Mat Zainudin Mansor, 38, pada keputusan di akhir kes pembelaan.

Kesalahan tersebut dilakukan oleh tiga sahabat berkenaan di kawasan sawah padi di Kampung Bendang Keladi, Tanah Merah.

ARTIKEL BERKAITAN: Artis nasyid popular berdepan hukuman gantung, 17 pokok ganja ditanam dalam rumah

Wan Ahmad Farid dalam alasan penghakimannya menjatuhkan hukuman itu selepas ketiga-tiga tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

"Mahkamah tidak mempercayai keterangan semua tertuduh kerana semasa tangkapan mereka bertiga berada di pondok itu dengan dadah tersebut berada di atas meja di pondok berkenaan.

"Mahkamah menganggap mereka reka cerita sedangkan mereka tahu berkaitan dadah dibuktikan lebih jelas apabila mereka melarikan diri. Oleh sebab itu, ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan serta dihukum gantung sampai mati," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara bersama mengedar 134.6g dadah jenis metamphetamine di Kampung Bendang Keladi, Batu Gajah, Tanah Merah pada jam 2.30 petang pada 21 Mac 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Khairul Anuar Wahab manakala tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Mereka turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas didapati bersalah kerana memiliki racun Caffiene seberat 9.2g pada masa tarikh dan tempat yang sama mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952.

Tertuduh juga dihukum penjara enam bulan terhadap pertuduhan pindaan secara berasingan mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis metamphetamine sebanyak 0.19g (Mat Zainudin), 0.2g (Mohd Nazri) dan 0.3g (Ismail) pada tarikh dan lokasi sama.

Mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara tersebut berkuat kuasa serentak dari tarikh kesemua tertuduh ditangkap. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain