suria

Balu, 2 remaja bebas tuduhan bunuh CEO Cradle Fund

Samirah Muzaffar menghadapi tuduhan membunuh suaminya di Mahkamah Tinggi. Foto: Bernama

BALU kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar, dan dua remaja yang didakwa membunuhnya telah dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman pada Selasa menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie empat tahun lalu terhadap tertuduh.

Ab Karim dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan hanya membuat andaian berhubung ketiga-tiga tertuduh berada dengan mangsa ketika waktu kejadian sebagaimana yang dinyatakan dalam pertuduhan.

"Mahkamah mendapati tiada keadaan menunjukkan ketiga-tiga tertuduh melakukan pembunuhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cradle Fund: Kertas siasatan hasil bedah siasat kedua diserah DPP - Fuzi

"Pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie maka mahkamah melepas serta membebaskan Samirah serta dua remaja itu daripada pertuduhan," katanya.

Pada 14 Februari lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati, Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019.

Isteri Nazrin iaitu Samirah, 47, serta dua remaja masing-masing berusia 20 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45 (ketika kejadian), di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Pasukan pendakwaan dianggotai Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Abu Bakar manakala pembelaan terdiri daripada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Rahmat Hazlan. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain