suria

Guru mengaji hadapi 17 tuduhan rogol, amang seksual 2 beradik

Seorang guru mengaji mengaku tidak bersalah atas tuduhan rogol dan amang seksual. - gambar hiasan

SEORANG guru mengaji dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Butterworth atas 17 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua beradik.

Tertuduh, Ashaari Ibrahim, 74, yang merupakan guru mengaji dituduh melakukan kesemua kesalahan itu terhadap kedua-dua mangsa sejak tujuh tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah di antara tahun 2014 hingga 2021.

Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh menghadapi enam pertuduhan iaitu tiga merogol dan tiga amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Syeqal Che Murat dihadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, bagaimanapun tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Noor Aini menangguhkan kes sehingga 29 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja 15 tahun dirogol, bapa saudara disyaki mabuk

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Ashaari dituduh melakukan 11 kesalahan iaitu tujuh merogol dan empat amang seksual fizikal terhadap kakak kepada mangsa pertama di antara 1 Januari 2014 hingga awal Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu melakukan kesalahan tersebut sejak mangsa berusia lima tahun.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Aisyah berkata, tiada jaminan ditawarkan kerana terdapat sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak lagi yang menjadi mangsa tertuduh.

"Sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin, ada kemungkinan dia boleh mengganggu mangsa, dan ini boleh menyebabkan mangsa enggan tampil memberikan keterangan kepada polis.

"Oleh itu, saya merayu supaya tiada jaminan diberikan,” katanya.

Katanya lagi, tertuduh dan kedua-dua mangsa tiada ikatan dan hanya tinggal berdekatan di kampung yang sama.

Tertuduh yang tidak mempunyai peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan merayu agar diberikan ikat jamin kerana mempunyai seorang isteri yang sedang sakit.

Kes ditangguhkan pada 29 Julai ini untuk serahan laporan perubatan. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain