suria

Suami pengasas Dnars bertegas mahu saman individu memfitnahnya

Ahmad Shah Rizal tampil menafikan tuduhan fitnah ke atas dirinya.

SUAMI kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya.

Perkara itu ditegaskan oleh suami Allahyarham Faziani iaitu Datuk Ahmad Shah Rizal Ibrahim, menerusi sidang media pada Rabu.

Tindakan tersebut dibuat menerusi peguam Nik Zarith Nik Moustpha menerusi tetuan Manz Co Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co.

Ahmad Shah Rizal turut meluahkan kebimbangan apabila pertikaian punca kematian Allahyarham Faziani dibangkitkan semula, yang akan memberi kesan psikologi terhadap anaknya.

"Anak saya tidak memberikan sebarang reaksi, namun saya bimbang sekiranya ada yang bertanyakan hal ini kepadanya dan ia secara tidak langsung menimbulkan kesan psikologi.

"Anak saya berusia sembilan tahun dan masih bersekolah. Jadi tentu sahaja saya risau tentang keadaannya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga pengasas Dnars buat satu lagi laporan polis, curiga resolusi tukar nama salah satu syarikat milik arwah

ARTIKEL BERKAITAN: Polis ambil keterangan hendak tahu apa sebenarnya berlaku... Serah isu kematian pengasas Dnars kepada Wisma Putra, Interpol

Sementara itu, Ahmad Shah Rizal berkata, beliau masih belum dipanggil untuk memberi kenyataan kepada polis.

"Saya maklum dengan laporan polis, tetapi sehingga ke hari ini saya tidak menerima sebarang panggilan untuk membantu siasatan," tambahnya.

Satu laporan polis turut dibuat beliau berhubung penularan khabar angin yang mendakwa berlaku keraguan ke atas kematian bekas isterinya yang tular di media sosial.

Sekitar pertengahan Jun, ahli keluarga Allahyarham membuat laporan polis bagi menuntut siasatan lanjut berkaitan kematian Faziani.

Pada 26 Jun, media melaporkan laporan polis kedua dibuat pada Selasa (21 Jun) oleh abang Allahyarham Faziani berhubung pertukaran pemilihan saham syarikat usahawan wanita itu. - Majoriti

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain