suria

Berbaloi naik bas dari Johor ke ekspo kerjaya, pemuda terus dapat kerja dengan syarikat multinasional!

Ahmad Haziq Danial Yusaini gembira kerana berjaya dalam temu duga dengan syarikat multinasional terkemuka.

USAHA yang tidak sia-sia!

Begitulah ungkapan sesuai untuk pemuda bernama Ahmad Haziq Danial Yusaini yang nekad menaiki bas dari Pengerang, Johor ke Kuala Lumpur demi menghadiri Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Niat utamanya adalah mahu mencuba nasib dan mencari peluang kerjaya lebih baik memandangkan lebih 30,000 kekosongan jawatan ditawarkan dalam ekspo tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 30,000 jawatan kosong libatkan 1,000 majikan tersedia di Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022

Hanya menumpang rumah rakannya buat seketika sebaik tiba di Kuala Lumpur sebelum berkunjung ke ekspo tersebut, siapa sangka usaha gigihnya berbaloi.

Pemuda berusia 25 tahun ini sama sekali tidak menyangka dia akan berjaya dalam temu duga, sekali gus diterima bekerja di sebuah syarikat multinasional minyak dan gas terkemuka di ibu negara.

"Saya mengetahui tentang ekspo ini di media sosial malah iklan mengenainya diuar-uarkan di merata platform. Jadi saya nak ambil peluang ini untuk meningkatkan karier terutama dalam bidang kejuruteraan," ujarnya yang merupakan lulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Anak sulung daripada enam adik beradik ini berkata, dia ketika ini bekerja di sebuah syarikat swasta di Pengerang sejak setahun lalu sebaik menamatkan pengajian.

Tak sia-sia bertolak naik bas malam sebelumnya. Saya sendiri tak sangka begitu cepat keputusan temu duga dan seterusnya diambil bekerja di syarikat yang besar," katanya ketika ditemui di WTC, Ahad.

Ahmad Haziq turut menyarankan orang ramai khususnya pencari kerja agar hadir beramai-ramai ke ekspo kerjaya untuk mencuba nasib, terutamanya bagi golongan pelajar dan graduan yang baru menamatkan pengajian.

Rider 'upgrade' diri, dapat kerja dengan syarikat swasta

Bagi seorang penghantar makanan (rider), Muhammad Syamil Mohd Ridzuan pula, dia turut melahirkan rasa gembira kerana berjaya diterima bekerja di sebuah syarikat swasta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Muhammad Syamil yang sebelum ini bekerja sebagai rider bakal memulakan kerja baharu di sebuah syarikat swasta tidak lama lagi.

Muhammad Syamil yang sebelum ini bekerja sebagai rider bakal memulakan kerja baharu di sebuah syarikat swasta tidak lama lagi.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai rider sejak setahun yang lalu. Saya saja nak mencuba nasib cari kerja baru selepas dapat tahu pasal ekspo ini daripada ibu.

"Ini hari pertama saya datang. Tak sangka sangat dapat kerja terus. Mak dan abang yang menemani saya pun gembira bila saya ditawarkan pekerjaan.

"InsyaAllah, jika ikut seperti apa yang diberitahu, saya dijangka mula kerja di tempat baru pada minggu depan," ujar pemuda berusia 22 tahun dari Wangsa Maju, Kuala Lumpur ini.

Ada ruang, peluang untuk OKU

Sharmilan turut tidak melepaskan peluang mencari kerja baharu kerana banyak kekosongan jawatan turut ditawarkan untuk OKU.

Sharmilan turut tidak melepaskan peluang mencari kerja baharu kerana banyak kekosongan jawatan turut ditawarkan untuk OKU.

Pemuda berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU), Sharmilan Swaninathan, 30, pula berkata, dia mahu mencari peluang pekerjaan untuk bangkit semula selepas kehilangan sebahagian tangan kanan akibat kemalangan di tempat kerja.

"Saya dulu bekerja sebagai seorang cef di atas kapal persiaran. Namun tragedi berlaku pada 2016, saya ditimpa kemalangan dan kehilangan sebahagian tangan kanan.

"Saya kini belajar di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi sejak awal bulan ini.

"Saya dibawa oleh PLPP untuk mengintai peluang pekerjaan yang sesuai selepas habis belajar tidak lama lagi," katanya.

Majikan terkejut sambutan hangat

Sementara itu, syarikat multinasional minyak dan gas, ExxonMobil yang merupakan salah satu majikan yang menyertai Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022, melahirkan rasa teruja dengan sambutan hangat daripada para pencari kerja yang mengunjungi booth mereka sejak hari pertama.

Pencari kerja mengambil peluang keemasan untuk mencuba nasib di Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. Foto: Faihan Ghani/The Star

Pencari kerja mengambil peluang keemasan untuk mencuba nasib di Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. Foto: Faihan Ghani/The Star

"Syarikat ini adalah salah satu syarikat minyak dan gas terbesar di dunia. Kebanyakan jawatan yang kami sediakan adalah bahagian kejuruteraan. Namun, ada juga dari bahagian sumber manusia dan teknologi maklumat.

"Hari pertama, kita terima lebih daripada 200 calon yang datang ke booth untuk ditemu duga. Kita sudah kenal pasti calon-calon yang akan ditawarkan surat tawaran, dan ramai calon dalam proses pertimbangan," ujar Pengurus Pengambilan (recruitment), ExxonMobil, Lee Kim Chuan.

Menerima sambutan yang tidak kurang hebatnya daripada golongan pencari kerja, Old Town White Coffee pula menggalakkan golongan yang baru menamatkan pengajian agar merebut peluang yang ditawarkan untuk membina kerjaya bersama rangkaian restoran mereka.

"Kekosongan yang kami tawarkan adalah lebih kepada golongan yang baru menamatkan pengajian. Itu sasaran kami. Namun kami juga dikunjungi oleh pencari kerja yang sudah berpengalaman dan permohonan mereka dalam pertimbangan.

Suasana di kaunter pendaftaran Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. Foto: Faihan Ghani/The Star

Suasana di kaunter pendaftaran Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022. Foto: Faihan Ghani/The Star

"Kepada semua tak kira anda golongan apa pun, B40, pencari kerja, ibu tunggal, OKU, mudah terjejas dan sebagainya, anda boleh datang ke booth kami atau cuba di booth yang lain kerana banyak tawaran yang menepati pengalaman yang anda ada," demikian kata Pengurus Sumber Manusia Old Town White Coffee, Azizul Jaafar.

Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 yang berlangsung selama lima hari sehingga 27 Julai ini, merupakan satu usaha bagi menangani isu pengangguran dan jurang yang wujud antara penawaran dan permintaan pekerjaan di negara ini.

Berkonsepkan 'One Stop Employment Solution', ekspo ini bermatlamat menjadi platform yang menghimpunkan pelbagai peluang pekerjaan di seluruh negara oleh para majikan di bawah satu bumbung.

Kaunter kaunseling kerjaya yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah. Foto: Faihan Ghani/The Star

Kaunter kaunseling kerjaya yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah. Foto: Faihan Ghani/The Star

Terdapat lebih 30,000 kekosongan jawatan daripada pelbagai kategori dan sektor pekerjaan termasuk profesional dan pengurusan untuk diisi oleh pencari kerja di ekspo kerjaya ini dengan penglibatan kira-kira 1,000 majikan termasuk sektor ekonomi gig, keusahawanan dan penyedia latihan yang menyediakan program 'Place and Train'.

Namun bukan sekadar pameran kerjaya semata-mata, apa yang menarik, terdapat acara cabutan bertuah setiap hari dengan menawarkan hadiah berupa motosikal, komputer riba, telefon pintar, televisyen dan sebagainya.

Banyak aktiviti lain turut disediakan termasuklah kaunseling kerjaya, bantuan penyediaan resume, pertandingan e-Sport, debat Institut Pengajian Tinggi (IPT), ceramah kebolehpasaran pekerjaan serta pameran oleh agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan tarian serta nyanyian.

Orang ramai diminta untuk membuat pra-pendaftaran dan sebarang maklumat lanjut berkaitan ekspo ini boleh diakses melalui pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Careline PERKESO di talian 1-300-22-8000 atau 03-80915300 atau e-mel ke [email protected].

Oleh itu apa tunggu lagi... ayuh beramai-ramai kunjungi Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022!

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain