suria

Tiba lewat 2 jam, Tengku Hassanal mohon maaf

Tengku meminta polis untuk menghentikan siasatan ke atasPengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang. Foto: BERNAMA.

PEMANGKU Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatudin Al-Mustafa Billah Shah memohon maaf kepada Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang yang dipanggil polis kerana didakwa menghina baginda menerusi ciapan di Twitter yang telah dipadamkan.

Menerusi Instagram Story, Tengku Hassanal memuat naik satu pesanan peribadi kepada Noor Jehan Abu Bakar dan berkata baginda terlewat untuk ke sebuah acara kerana mengalami masalah kesihatan.

"Saya memohon maaf kerana terlambat untuk acara itu. Saya tidak sihat pagi itu dan terpaksa mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk keselamatan semua orang.

"Saya sangat menghargai masa dan keprihatinan anda, terima kasih," tulisnya.

Baginda juga telah meminta polis untuk menghentikan siasatan ke atas Noor Jehan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah pernah jadi mangsa buli, Tengku Hassanal kesal rakyat Pahang bergaduh - “Pelajar sekolah, tolong jangan pukul orang!”

Terdahulu, Noor Jehan dalam satu ciapan menulis bahawa Tengku Hassanal dan pegawai berpangkat tinggi lain telah lewat dua jam untuk Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan – acara penanaman pokok di Pantai Chenor, Kemaman, Terengganu pada 18 Julai.

Difahamkan, dia telah disoal siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 dan 500(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan berunsur fitnah serta Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Pertuduhan pertama membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, manakala kedua membabitkan penyalahgunaan rangkaian komunikasi membawa hukuman penjara maksimum setahun, atau denda sehingga RM50,000.

Noor Jehan kemudian menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk memfitnah sesiapa dan sebaliknya melepaskan kekecewaannya kerana terpaksa menunggu selama dua jam untuk program itu dimulakan, sambil menambah bahawa dia keliru mengapa dia disiasat kerana dia hanya berkongsi pengalamannya dengan pengikut Twitter. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain