suria

Abdul Khalid Ibrahim, bekas MB Selangor meninggal dunia

Abdul Khalid menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan pada injap jantung.

BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11.08 malam tadi akibat jangkitan pada injap jantung.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasminya, Abdul Khalid menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.

"Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung.

ARTIKEL BERKAITAN: Keadaan kesihatan kembali merosot, bekas setiausaha politik mohon doakan kesembuhan Abdul Khalid

"Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

"Sejurus usai di Masjid Umar Al Khattab, jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat di Selangor yang mahu memberikan penghormatan terakhir dan melakukan solat jenazah," demikian menurut kenyataan tersebut.

Atas titah dan limpah kurnia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Al-Haj, jenazah akan disemadikan di Makam Di Raja Shah Alam.

Abdul Khalid, 76, meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Salbiah Tunut, empat orang anak dan dua orang cucu.

Untuk rekod, Abdul Khalid memegang tampuk pemerintahan Selangor sebagai Menteri Besar selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014 apabila dipecat daripada jawatan tersebut yang kemudian digantikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain