suria

Hampir seminggu hilang selepas ke kebun, warga emas ditemui selamat

Pasukan mencari dan menyelamat membawa Painah yang ditemukan dalam keadaan lemah.

SEORANG wanita yang dilaporkan hilang di kebun kelapa sawit di Batu Pahat selama hampir enam hari, ditemui dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Painah Siwan, 79, ditemui oleh dua orang awam di kebun di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang di Batu Pahat, pukul 11.25 pagi Isnin.

"Wanita itu ditemui selamat walaupun dalam keadaan lemah, berhampiran lopak air di ladang, kira-kira 1.4 kilometer (km) dari rumahnya dan 900 meter dari pusat mencari dan menyelamat yang ditubuhkan pihak berkuasa untuk mencarinya.

"Kita turut menjumpai sepasang selipar berhampiran dengannya, serta seikat liri daun kelapa sawit yang telah diraut," katanya sambil menambah warga emas itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk menerima rawatan.

Beliau menambah, wanita tersebut berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, anak Painah, Sadiah Mohari, 42, berkata dia bersyukur kerana pencarian ibunya berakhir dengan penemuan yang selamat.

"Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan dengan berita gembira. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pencariannya," katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Painah dilaporkan hilang selepas keluar mencari daun kelapa sawit untuk dijadikan penyapu lidi di kebun kelapa sawit di belakang rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang, Senggarang.

Sebuah pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan melibatkan seramai 187 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan penduduk setempat. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain