suria

Jual nasi ayam viral, tapi dilihat ambil bahan masakan dari restoran bukan Islam... JHEAINPP buat siasatan

Tangkap layar video tular yang memaparkan tindakan dua lelaki membeli nasi ayam di premis bukan Islam.

SEBUAH kedai menjual nasi ayam didakwa mengambil bahan masakan dari sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong, Georgetown, Pulau Pinang.

Menurut jurucakap Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), pihaknya akan membuat semakan terperinci pada Selasa berhubung dakwaan tersebut.

Walaupun semakan telah dibuat pada Isnin, namun ia perlu dilakukan semula dengan lebih terperinci terhadap kedai makan tersebut.

"Kita sudah jalankan siasatan pada Isnin, namun akan menjalankannya dengan lebih terperinci hari ini (Selasa).

"Siasatan pada hari ini juga akan dijalankan bersama agensi lain. Kita akan maklumkan kemudian mengenai siasatan yang dijalankan nanti," katanya, Selasa.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 2 minit 38 saat berhubung dua lelaki dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil masakan nasi ayam dan menjualnya di gerai di Sungai Ara.

Tangkap layar video dua individu yang tular di media sosial.

Perkara itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli nasi ayam di kedai terbabit.

Difahamkan, setelah tular video tersebut, pemilik gerai telah menutup perniagaan mereka selepas dinasihati penduduk berdekatan.

Lebih mengecewakan, kedai itu tular dan mendapat perhatian ramai setelah ia mendapat liputan 'paid review' daripada seorang pempengaruh media sosial.

Bagaimanapun, pempengaruh tersebut telah tampil menjelaskan perkara sebenar yang mana, dia tidak mengetahui mengenai tuduhan tersebut dan hanya menjalankan tugas setelah dibayar untuk membuat 'paid review'.

Bimbang tuduhan tersebut akan mengeruhkan lagi keadaan, pempengaruh tersebut telah memadam video berkenaan.

Susulan itu, tular sebuah lagi video dipercayai daripada pemilik kedai yang menafikan tuduhan tersebut.

Namun, pemilik kedai terbabit menjelaskan bahawa mereka memasak makanan itu sendiri di sebuah premis di kompleks membeli-belah sebelum membawanya untuk dijual di premisnya. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain