suria

KPT tubuh jawatankuasa program perkasa pendidikan pengundi mahasiswa

Noraini (tengah) pada Majlis MoU antara UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR bagi Program Memperkasa Pendidikan Pengundi Mahasiswa.

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) akan menubuhkan Jawatankuasa Program Memperkasakan Pendidikan Pengundi Mahasiswa sebagai platform untuk membincangkan mengenai pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang melibatkan mahasiswa.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, jawatankuasa ini nanti bakal dianggotai wakil-wakil Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) daripada 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya, ini turut melibatkan wakil daripada Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) selaku urus setia.

"Fungsi utama jawatankuasa ini sebagai platform bagi pihak KPT, UA dan APR serta SPR membincangkan berkenaan dengan pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang melibatkan mahasiswa.

"Jawatankuasa ini juga bertanggungjawab melihat keberkesanan pelaksanaan program yang telah dirancang, dan seterusnya mencadangkan mekanisme yang sesuai bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut.

"Dengan pewujudan tadbir urus yang jelas ini, sasaran pelaksanaan program-program pendidikan pengundi kepada mahasiswa serta hasrat untuk melahirkan graduan yang holistik dan seimbang dapat dicapai," katanya.

kpt 2

Noraini (tengah) beramah mesra selepas majlis MoU.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi Program Memperkasa Pendidikan Pengundi Mahasiswa (Undi 18) di KPT, Selasa.

Noraini berkata, Program Memperkasa Pendidikan Pengundi Mahasiswa merupakan manifestasi sokongan KPT kepada pelaksanaan Undi 18.

SARA HIDUP SISWA

Jelasnya, perkara itu diterjemahkan melalui kerjasama antara UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR dalam melaksanakan program-program pendidikan pengundi kepada mahasiswa.

"Sudah semestinya pelaksanaan program yang lebih holistik, tersusun dan terselaras perlu dilakukan.

"Perlu ada kerjasama yang berstruktur antara pihak UA dan JPPKK sebagai pelaksana serta SPR melalui APR sebagai pihak yang pakar," katanya.

SARA HIDUP SISWA

Tambah beliau, MoU tersebut akan memberi lembaran baharu dan nafas yang lebih segar kepada kerjasama antara KPT, UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan SPR.

"Saya juga berharap pelaksanaan program-program pendidikan pengundi ini juga akan diperluaskan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).

"Saya percaya, dengan adanya pelaksanaan program-program pendidikan pengundi yang terselaras di peringkat nasional, akan dapat membantu mencapai aspirasi kerajaan untuk melahirkan mahasiswa sebagai pengundi bijak, matang dan berketerampilan," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 iaitu menurunkan had umur mengundi, pendaftaran automatik dan menurunkan had umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun pada 16 Julai 2021.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain