suria

Kebocoran draf penghakiman Najib, polis terima laporan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

POLIS mengesahkan menerima laporan mengenai kertas keputusan penghakiman yang dikatakan bocor untuk perbicaraan rasuah SRC International oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Persekutuan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, laporan itu dibuat oleh pegawai mahkamah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada Selasa.

"Ya, ada laporan diterima dan siasatan sedang dijalankan. Polis juga dalam tindakan untuk merekod keterangan pihak yang boleh membantu siasatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dipenjara 12 tahun, denda RM210 juta

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau membuat hebahan berita-berita yang tidak benar atau membuat apa-apa perkara yang melanggar undang-undang," katanya, memetik Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia mengesahkan draf penghakiman bertulis bertajuk Najib Razak’s SRC Appeal: The Judgement didapati bocor.

Namun, Pejabat Ketua Pendaftar menegaskan ia adalah draf kerja penghakiman yang belum dimuktamadkan lagi, selain dokumen berkenaan telah diubah suai.

Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Susulan keputusan itu, bekas Perdana Menteri berkenaan, diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain