suria

Sah! Beberapa produk naik harga mulai 1 September, roti Gardenia Bonanza Keluarga kekal RM2.75

Gardenia KL mengumumkan kenaikan harga beberapa produknya bermula 1 September. foto ART CHEN/The Star

GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) mengesahkan beberapa produk keluarannya akan dijual pada harga baharu dengan kenaikan antara 10 sen hingga 50 sen, bermula 1 September ini.

Pihak Pengurusan Gardenia KL berkata, harga baharu untuk beberapa produknya ialah Gardenia Original Classic RM3, Gardenia Wholemeal RM4, rangkaian Gardenia Toast RM5.50, Gardenia Twiggies RM2, Gardenia Waffles RM1.50, dan Roti Krim Gardenia RM1.10.

"Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic ialah sebanyak RM0.20 (7 peratus), berbanding dengan kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

"Gardenia KL mengekalkan harga roti Gardenia Bonanza Keluarga pada RM2.75 sebuku, harga mampu milik untuk roti putih 500 gram.

"Roti Bonanza Keluarga Gardenia ini adalah lebih menjimatkan dan sesuai untuk keluarga yang lebih besar. Sebagai perbandingan untuk setiap 100g, roti Gardenia Bonanza Keluarga (RM0.55) adalah lebih murah berbanding roti Gardenia Original Classic (RM0.75)," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, tular satu surat mengenai perubahan harga iaitu pemakluman daripada Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia KL, Koh Chin Huat, dalam suratnya kepada peruncit yang menyenaraikan 53 produknya akan menggunakan harga baharu berkuat kuasa pada 1 September ini.

Roti Gardenia Bonanza Keluarga

Roti Gardenia Bonanza Keluarga.

Gardenia KL menjelaskan bahawa seperti perniagaan lain, syarikat itu juga berhadapan dengan cabaran pasca Covid-19 termasuk pematuhan kepada keperluan keselamatan kepada (prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

ARTIKEL BERKAITAN: Gardenia naikkan harga produk mulai 1 September

Selain itu, menurutnya, bencana banjir yang melanda kawasan Shah Alam pada Disember 2021, serta krisis rantaian bekalan global dan pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Mei 2022 telah memberi kesan yang ketara kepada kos operasi.

"Dalam beberapa bulan ini, Gardenia KL telah terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi (sebanyak 25 peratus), serbuk putih telur (lebih daripada 100 peratus) tepung gandum, gluten, susu skim, bread improver dan bahan-bahan pembungkusan roti.

"Selain dari faktor-faktor di luar kawalan kami ini, pelaksaan gaji minimimum yang wajib dipatuhi oleh majikan telah turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia KL.

"Hasil dari semakan dan analisa terperinci, serta mengambil kira beberapa pilihan yang ada, Gardenia KL telah menyemak semula harga runcit bagi produk-produknya yang akan berkuat kuasa 1 September 2022," tambahnya.

Bagi Gardenia KL, menaikkan harga adalah langkah terakhir setelah semua usaha bagi memaksimumkan kecekapan operasi telah dilaksanakan terlebih dahulu.

"Kami kekal komited kepada semua pelanggan kami untuk membekalkan roti segar 365 hari setahun, tujuh hari seminggu, tanpa mengira hujan atau panas.

"Kami amat berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami selama ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain