suria

Kes rasuah RM2.8 juta: Bung Moktar, Zizie Izette diperintah bela diri

Bung Mokhtar dan isteri hadir di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad membela diri daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie Izette, 44, di akhir kes pendakwaan.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba pada jam 2.20 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) warna hitam.

Perbicaraan kes bermula 2 Januari 2020 lalu dengan 30 saksi dipanggil antaranya bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra, Dr Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad, iaitu Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid.

Pada 17 Mei lalu, kes itu ditutup selepas saksi terakhir yang juga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsharil Saharom, 37, selesai memberikan keterangan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sophian Zakaria dan Maziah Mohaide manakala Bung Moktar dan Zizie Izette diwakili peguam, M Athimulan serta Datuk K Kumaraendran.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain