suria

Dakwaan culik pelajar: KPM teliti semua aspek, bekerjasama dengan polis

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata dakwaan berkenaan akan diteliti dari segenap sudut.

SEJAK kebelakangan ini, tular beberapa video di media sosial yang mengaitkannya sebagai dakwaan cubaan culik membabitkan murid sekolah di beberapa negeri.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata dakwaan berkenaan akan diteliti dari segenap sudut bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil Kementerian Pendidikan untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes, didapati terdapat bermacam-macam laporan cubaan culik diberikan pelajar sebelum dibuktikan palsu oleh polis.

"Kita nak kena tahu apakah keadaan di belakang tersebut kerana secara umumnya, mereka kanak-kanak ini jujur, namun apa keadaan di sebaliknya, kita nak kena semak secara mendalam.

"Kalau kita nak kata macam-macam kepada anak-anak kita ini, generasi yang ada pada hari ini terdedah kepada pelbagai pendedahan maklumat dan sebagainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuba culik pelajar perempuan, lelaki direman empat hari

"Jadi adalah penting, apabila dapat maklumat daripada polis, kita teliti dan lihat mengikut konteks tertentu untuk kita mengambil tindakan sewajarnya dalam apa jua keadaan.

"Kita tidak mahu melihatnya secara luaran sahaja dan terus membuat kesimpulan," katanya dalam sidang akhbar sempena program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) dan FGV Holdings Berhad di Pusat Perlindungan Hidupan Liar di Sungkai pada Khamis.

Mohd Radzi berkata, kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan polis berhubung isu tersebut termasuk mengambil langkah proaktif memastikan keberadaan anak-anak di sekolah adalah selamat.

Ujar beliau, pengurusan sekolah juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengingatkan murid tentang keselamatan diri dan mengeluarkan notifikasi untuk mengingatkan mereka akan bahaya.

Kes cubaan culik melibatkan pelajar sekolah telah dilaporkan berlaku di beberapa negeri antaranya Perak, Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan mendapati dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah didapati palsu dan sengaja direka oleh pelajar terlibat. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain