suria

Nasib terbela… Balu rider maut dirempuh SUV terima pencen Perkeso sepanjang hidup

Perkeso memberikan bantuan kepada balu rider kemalangan dirempuh SUV.

SEDIKIT kelegaan di sebalik kedukaan untuk balu yang kehilangan suaminya, Allahyarham Muhaimin Said selepas terkorban dalam satu kemalangan apabila menerima dua bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Balu arwah, Nur Izwana Othman, 26, menerima Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan untuk Akta 4 berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Selain itu, Nur Izwana juga layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM837 sebulan yang akan dibayar seumur hidup.

Kedua-dua faedah itu diserahkan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed kepada balu arwah di kediamannya di Kampung Rantau Panjang pada Isnin.

“Waris juga menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 untuk sekali bayar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi Akta 789.

Balu arwah, Izwana ketika menerima bantuan diberikan oleh Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed

“Bagi caruman SKSPS, arwah merupakan salah seorang daripada penerima insentif Kerajaan menerusi SPS Padanan Caruman (SPS Gig) di bawah Bajet 2022,” katanya kepada media.

Pada 3 September lalu, Muhaimin, 34, yang dalam perjalanan untuk mengambil pesanan makanan pelanggan terkorban akibat dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Haji Sirat, Meru di Klang.

Akibat rempuhan tersebut, Muhaimin disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dan organ dalaman.

Tambah Azman, walaupun arwah Muhaimin tidak lagi bekerja dengan majikan dalam sektor formal, namun dia masih dilindungi di bawah Akta 4 kerana skim perlindungan ini adalah berasaskan prinsip ‘Once In, Always In’.

“Oleh itu, orang tanggungan layak menerima Pencen Penakat apabila Orang Berinsurans (OB) meninggal dunia akibat sebarang sebab sebelum mencapai umur 60 tahun dan memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian sama, seorang lagi penghantar makanan turut dirempuh kenderaan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun dia tidak dilindungi Perkeso.

“Perkeso ingin menyeru orang ramai khususnya golongan yang bekerja sendiri untuk mencarum dengan SKSPS dan merebut peluang untuk mendapatkan bantuan padanan caruman SKSPS oleh Kerajaan.

“Dengan adanya perlindungan daripada Perkeso, sekurang-kurangnya nasib dan bebanan yang perlu ditanggung oleh Orang Berinsurans (OB) mahupun waris mereka akan terbela,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain