suria

Pelukan tangisan sambut Azi ejen kosmetik, kembali ke pangkuan keluarga

Azi (kiri) memeluk ibunya ketika tiba di rumah mentuanya di Kelochor, Kota Bharu pada Isnin.

PERTEMUAN dua beranak antara ejen jualan kosmetik yang menjadi mangsa penculikan, Rosnazirah Mohd Naim, 36, bersama ibunya cukup menyentuh perasaan.

Rosnazirah atau lebih dikenali sebagai Azi menangis sambil memeluk ibunya ketika dibawa pulang ke pangkuan keluarganya dengan selamat di rumah mentua di Kampung Kelochor dekat Kota Bharu, pada Isnin.

Pada Khamis lalu, Azi diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan polis Thailand sebelum mangsa diserahkan kepada keluarganya pada pukul 2.50 petang Isnin oleh Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Pada 13 September lalu, Azi didakwa dilarikan tiga lelaki dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu Kelantan sebelum berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Alhamdulilah... Azi ejen kosmetik selamat, polis tahan 7 suspek

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, kejayaan itu adalah hasil bantuan dan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

"Seramai tujuh lelaki warga tempatan ditahan di Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Acryl Sani berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menubuhkan satu pasukan khas merangkumi aspek siasatan dan operasi bagi menyelesaikan kes penculikan itu. - Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain