suria

Sah! Tiada produk Mi Sedaap mengandungi racun perosak masuk pasaran Malaysia

Dr Noor Hisham memberi penjelasan berhubung mi segera, Mie Sedaap.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua produk mi segera jenama Mi Sedaap keluaran Indonesia yang dilaporkan mengandungi sejenis racun perosak, etilena oksida tidak memasuki pasaran negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, melalui semakan ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM), mendapati mi segera itu dijual di negara ini, namun tidak membabitkan tarikh luput yang ditarik balik.

"KKM mengambil maklum laporan media mengenai kehadiran etilena oksida yang dikesan dalam beberapa perisa produk Mie Sedaap keluaran Indonesia.

"Produk berkenaan adalah Mi Sedaap Korean Spicy Chicken Instant Noodles dengan tarikh luput 21 Mei 2023 dan Mi Sedaap Korean Spicy Soup Instant Noodles dengan tarikh luput 17 Mac 2023.

"FoSIM mengesahkan produk tersebut ada diimport ke negara ini. Walau bagaimanapun tiada kemasukan produk terbabit dengan dengan tarikh luput seperti yang direkodkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Terdahulu, produk keluaran Indonesia itu dilaporkan ditarik balik daripada memasuki pasaran Singapura.

Agensi Makanan Singapura (SFA) sebelum ini menarik balik dua produk Mie Sedaap yang dikesan mengandungi racun perosak, etilena oksida.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan terus menjalankan pemantauan di pasaran dan mengenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) di semua pintu masuk negara.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain