suria

Pemandu tertekan pedal minyak! Mula-mula langgar motor, kemudian rempuh kedai

Sebuah kenderaan merempuh premis kedai di Meru Raya, Ipoh.

SEBUAH kedai di pasar raya besar di Meru Raya, dirempuh oleh sebuah (MPV) Naza Ria pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, kemalangan berlaku pada 10.35 pagi.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam kira-kira 10.35 pagi semasa pemandu kenderaan jenis Naza Ria sedang meletakkan kenderaan berhadapan premis itu.

"Pemandu tiba-tiba tertekan pedal minyak dan meluncur melanggar motosikal yang parkir di hadapan serta melanggar premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam kejadian itu, pekerja kedai, pemandu dan seorang penunggang motosikal berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Mohd Yusri lagi, beberapa barangan di kedai itu turut musnah.

"Komputer, kabinet dan dua mesin di kedai itu musnah. Bampar kereta, tayar hadapan dan lampu depan juga rosak," katanya sambil menambah motosikal itu juga rosak teruk.

Sekeping gambar kereta yang merempuh premis itu telah tular di media sosial sebelum ini. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain