suria

46 pendaki terkandas kepala air di Telaga Tujuh Langkawi

Seramai 46 pendaki terperangkap akibat kepala air di air terjun Telaga Tujuh padi tadi. Foto: Ihsan JBPM Kedah.

SERAMAI 46 pendaki terperangkap di air terjun Telaga Tujuh, Langkawi dalam kejadian kepala air pada Ahad.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon, semua mangsa dipercayai membuat pendakian ke atas puncak seawal jam 4 pagi sebelum sampai di puncak pada jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, kesemua pendaki kemudiannya berehat selama 30 minit sebelum turun dari puncak telaga berkenaan berikutan hujan.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi terus bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.16 pagi,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati pendaki gunung berusia lingkungan 30-an hingga 50-an yang terperangkap di air terjun itu.

"Komander operasi melaporkan bahawa keadaan di tempat kejadian hujan lebat dan arus deras ekoran terjadi kejadian kepala air," katanya.

Sayani memaklumkan, anggota penyelamat kemudiannya membuat ikatan tali bagi menyeberangi sungai untuk anggota penyelamat bergerak ke lokasi mangsa terperangkap.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi terus berjalan dan hujan masih berlarutan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan pihaknya menerima maklumat orang awam terperangkap di kawasan terbabit pada jam 10.35 pagi.

Dalam pada itu, operasi menyelamatkan semua mangsa masih dilakukan dan bomba serta polis berada di lokasi bagi memberi bantuan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain