suria

Pengambilan tenaga buruh kunci pemulihan ekonomi pasca Covid-19 – Ahli MPN

Datuk Michael Kang ketika sesi bersama media. Foto AZLINA ABDULLAH/The Star

PENGAMBILAN tenaga buruh perlu dilipatgandakan demi merancakkan pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, kata ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN), Datuk Michael Kang.

Menurut Michael, kekurangan tenaga buruh di negara ini merupakan isu yang serius kerana ia boleh menyebabkan pemilik perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak mampu untuk menampung kemasukan permintaan daripada pelabur.

"Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, ramai pekerja asing pulang ke kampung halaman masing-masing sehingga mengakibatkan kekurangan seramai 1.5 juta tenaga buruh hari ini.

"Kekurangan tenaga buruh ini dirasai dalam setiap lapisan industri dan jika dibiarkan akan merencatkan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Michael pada sesi media bersama Ahli Majlis Pemulihan Negara.

"Peluang pelaburan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila ia banyak diberikan kepada negara lain seperti Thailand dan Vietnam kerana industri di sini tidak dapat menampung kemasukan permintaan tersebut," kata Michael pada sidang media, Jumaat.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberitahu isu yang sering dibangkitkan oleh PKS adalah kekurangan tenaga buruh dalam setiap industri terutama sektor pertanian.

Picture3

Muhyiddin (kanan) bertemu dengan peserta Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

Sebagai langkah penyelesaian, Michael menyarankan kerajaan supaya menubuhkan ‘laluan hijau’ untuk mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing bagi berhadapan dengan isu kekurangan tenaga buruh yang meruncing.

"Menerusi 'laluan hijau', proses permohonan kemasukan pekerja asing akan dapat dipendekkan dengan kadar pemberian kelulusan permohonan mencecah sekurang-kurangnya 50 peratus.

"Maksudnya di sini ialah, katakan sebuah syarikat memerlukan 100 pekerja, 'laluan hijau' ini akan membolehkan kerajaan meluluskan segera 50 pekerja pertama manakala baki 50 pekerja boleh melalui proses dokumentasi untuk menentukan jika boleh diberikan pelepasan atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: MPN cadang sistem bersepadu, perkukuh jaringan keselamatan sosial demi rakyat

ARTIKEL BERKAITAN: MPN beri peluang aktivis salur bantuan lebih baik kepada golongan rentan

"Perkara ini perlu agar kilang-kilang dapat beroperasi semula.

"Ada satu syarikat PKS memberitahu saya pada mulanya mereka mempunyai 500 tenaga kerja, tetapi kini hanya 50 pekerja yang tinggal. Jadi mereka kekurangan 450 pekerja dan mereka tidak dapat membawa masuk tenaga buruh baharu sehingga ke hari ini," ujar beliau.

Picture4

Michael menyuarakan tentang isu tenaga buruh.

Dalam pada itu, Michael turut menyatakan antara sebab isu kekurangan tenaga buruh dalam industri tidak dapat diselesaikan adalah kerana kerajaan masih berpegang pada prosedur pengambilan lama yang digunapakai sebelum pandemik Covid-19.

"Kerajaan tidak melihat isu ini sebagai satu bahagian khusus dalam program pemulihan negara.

"Mereka masih berbalik kepada cara lama iaitu proses pengambilan pekerja asing sebelum pandemik di mana ketika itu tidak ada 'laluan hijau' untuk mempercepatkan permohonan dan semuanya harus melalui proses satu demi satu.

"Apabila semua sudah selesai, baru sesi temu duga dapat dijalankan," katanya.

Michael (tengah) berbincang bersama Muhyiddin (kanan). Turut serta ahli MPN, Datuk Hartini Zainudin.

Beliau menambah, proses untuk membawa masuk pekerja asing juga diperlahankan dengan kerenah birokrasi dan ia merumitkan lagi langkah penyelesaian isu kekurangan tenaga buruh.

"Ia bukan mudah untuk membawa masuk pekerja asing kerana syarikat perlu menghantar semua dokumen, menunggu giliran untuk sesi temu duga dan memenuhi bermacam lagi kriteria lain. Memakan masa yang lama.

"Dari hendak menghantar dokumen dan menempah slot untuk temu duga boleh mengambil masa tiga sehingga enam bulan. Semua proses memerlukan masa yang lama. Ditambah pula dengan industri yang sememangnya sudah kekurangan tenaga buruh," jelas beliau.

Michael kemudiannya memaklumkan bahawa sekarang ini terdapat senarai menunggu yang panjang untuk temu duga pekerja asing.

Beliau bagaimanapun memuji inisiatif kerajaan untuk membuka lebih banyak pusat bagi menjalankan temu duga tersebut selain dari pusat yang sedia ada di Putrajaya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain