JURUTERBANG helikopter yang terhempas dekat Brinchang di Cameron Highlands pada Rabu, terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika angin kencang yang menyebabkan ia menghala ke atas. Masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Kapt Fedzrol Norazam, 43, berkata, dia tidak dapat melakukan laluan penerbangan biasa melalui Kampung Raja di tanah tinggi kerana hujan lebat, dan terpaksa melencong ke jurang yang paling hampir tanpa hujan, iaitu di Brinchang. "Bagaimanapun ketika menuju ke sana, secara tiba-tiba entah dari mana, angin kencang dari bawah sehingga menolak helikoper ke atas. "Saya sudah rasakan sesuatu, tapi saya tidak beritahu penumpang kerana tidak mahu mencetuskan panik. "Saya cuba berpatah balik, tetapi semakin sukar untuk mengawal helikopter, dan sekali lagi, angin mula menolak helikopter itu lebih dekat ke bukit," katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter terhempas: Kesemua enam mangsa terselamat, alami cedera ringan... seorang patah tulang paha Fedzrol berkata, dia mengekalkan ketinggian pada 5,000 kaki, dan helikopter itu bergoyang ke kiri ke kanan. Menurutnya lagi, dia menggunakan 100 peratus kuasa enjin helikopter itu, tetapi ia masih tidak stabil. "Kelajuan semakin berkurangan dan angin semakin kuat, dan saya tahu saya perlu melakukan pendaratan cemas. "Saya pastikan ekor mengenai terlebih dahulu ketika melakukan pendaratan, bagi memastikan kabin selamat. Tetapi ia mungkin bukan pendaratan yang lancar," tambahnya. Jelas Fedzrol, dia merupakan orang terakhir yang keluar dari helikopter, kerana dia mungkin pengsan antara dua hingga tiga minit. "Saya terdengar seseorang memanggil saya. Tali pinggang keledar saya masih terpasang, dan tangan saya masih memegang pemegangnya. "Saya pening selama kira-kira 10 minit, sebelum bertanya sama ada semua orang dalam keadaan baik. "Saya minta maaf atas apa yang berlaku, tapi yang paling penting semua selamat," katanya. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI