suria

Agrobank, Lembaga Zakat Negeri Kedah serah 10 unit motor roda tiga buat usahawan asnaf

10 unit motor roda tiga diserahkan kepada usahawan asnaf terpilih.

AGROBANK dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah menyerahkan 10 unit motor roda tiga bernilai RM93,357.70 kepada usahawan asnaf terpilih di negeri itu.

Menurut Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, ia merupakan usaha berterusan pihaknya dalam memberikan sokongan buat komuniti tersebut, sekali gus meniup semangat untuk terus berjuang.

"Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Agrobank untuk menggalakkan semangat dan membina kemahiran keusahawanan dalam komuniti asnaf di negeri Kedah bagi membuka peluang baharu kepada bakal usahawan daripada golongan asnaf, dan juga meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa berikutan pasca Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Agrobank bersama mStar kongsi nikmat Ramadan... Hargai penuntut UPM, seru tingkat prestasi

"Melalui program yang berasaskan pembangunan perniagaan usahawan Asnaf ini, Agrobank menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan asnaf yang berdikari, proaktif dan berdaya saing untuk turut sama terlibat dalam aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan agromakanan, sekali gus berupaya keluar daripada status asnaf fakir dan miskin," ujarnya.

Program Usahawan Asnaf Motor Roda Tiga merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank yang bertujuan untuk membantu asnaf-asnaf yang terpilih meningkatkan pendapatan mereka melalui perniagaan menggunakan motor roda tiga.

Majlis serahan ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Aminuddin Amenon bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Haji Zakaria Othman serta para penerima yang terdiri daripada usahawan asnaf negeri Kedah di Dewan Dato’ Syeikh Mahmood Naim, Alor Setar, Kedah minggu lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain