DATUK Seri Anwar Ibrahim yakin pihaknya akan diberi peluang untuk memerintah negara. Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa pakatannya mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. "Sejak semalam kita sudah cukup dan melebihi angka 112 serta yakin saya akan diberi peluang untuk menerajui negara. "Apa-apa pun kita akan serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong seperti apa yang dititahkan oleh Istana Negara," katanya ketika ditemui pemberita, pada Ahad malam. Anwar bagaimanapun enggan mengulas mengenai parti atau ahli Parlimen yang akan bekerjasama dengan PH. "Saya mahu ia dilakukan dengan cara yang betul. Biar mereka (parti atau Ahli Parlimen yang akan bekerjasama) masing-masing mengeluarkan kenyataan. "Saya gembira kerana kita sudah menyelesaikannya. Saya fikir dengan sokongan yang diperoleh, saya yakin insyaAllah, saya akan diberi peluang untuk menerajui negara ini," katanya. Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) akan turut bekerjasama dengan PH, Anwar sambil berseloroh berkata: "Sabar... anda kena belajar dengan Anwar Ibrahim...sabar, begitu lama sabar." ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin yakin dilantik jadi PM ke-10 ARTIKEL BERKAITAN: Serah nama calon PM sebelum 2 petang Isnin - Istana Negara Terdahulu, Anwar pada sidang media selepas menang kerusi Tambun mendakwa pakatan itu kini mempunyai majoriti melebihi 111 kerusi Parlimen untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan. "PH parti dari blok terbesar memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan suara majoriti. "Kita mencapai persefahaman dan persetujuan untuk membentuk kerajaan apabila ada perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya. Sehubungan itu, Anwar menyifatkan adalah mustahil untuk Perikatan Nasional (PN) membentuk Kerajaan Persekutuan kerana mendakwa PH sudah memperoleh lebih 111 kerusi Parlimen, termasuk melalui persefahaman dengan beberapa ahli Parlimen lain. Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad petang pula berkata yakin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10. Pada tengah hari, dia berkongsi di media sosial mengadakan rundingan bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). "Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperolehi bilangan sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10 sepertimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI