suria

Anwar menghadap TMJ… Rakyat mula bayangkan PM, Tunku Ismail pakai jersi bola selfie dalam stadium

Anwar diperkenan menghadap Tunku Mahkota Johor pada Sabtu.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan menghadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Perkara itu dikongsi sendiri menerusi laman Twitter TMJ, kira-kira pukul 5.09 petang tadi.

"DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim terima mengadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia bersama YAM Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tengku Muda Pahang hari ini. Allah Peliharakan Sultan," tulis keterangan pada perkongsian itu.

Posting itu turut disertakan dengan beberapa keping foto sekitar pertemuan berkenaan.

TMJ pada Khamis lalu turut memuat naik ciapan di Twitter, mengucapkan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri baharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berkat hari Jumaat... Anwar masuk pejabat sebagai PM

Untuk rekod, Anwar memulakan tugas hari pertama sebagai Perdana Menteri ke-10 di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya pada Jumaat.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis, 24 November.

Sementara itu rata-rata netizen gembira dengan hubungan baik antara Anwar dan institusi diraja.

“Kalau nak terus memenangi hati rakyat, sama-sama berganding bahu dengan Raja-Raja Melayu. Sentiasa rapat dan update. InsyaAllah disukai ramai.

“Kegembiraan dapat dilihat daripada pandangan mata TMJ dan jabat tangannya dengan Anwar.

“Kita dah boleh bayangkan dah ni Tuanku @HRHJohorII pakai jersi JDT dengan PM10 @anwaribrahim pakai jersi Selangor selfie sama-sama dekat stadium,” demikian kata sebilangan netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain