DEMI mengelakkan pembaziran, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan menerima keistimewaan yang diberikan kepadanya iaitu sebuah kenderaan mewah jenis Mercedes S600 untuk kegunaan rasmi. Anwar, yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 itu berkata, langkah tersebut adalah untuk mengelakkan sebarang perbelanjaan baru dilakukan. "Saya ingin memaklumkan bahawa semalam saya telah menolak untuk menggunakan sebuah kenderaan jenis Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum saya memasuki pejabat. ARTIKEL BERKAITAN: Anwar angkat sumpah PM ke-10 "Langkah tersebut diambil kerana saya tidak mahukan sebarang perbelanjaan baru dibuat ke atas saya. "Sebaliknya, saya telah membuat keputusan untuk menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat untuk kegunaan harian," katanya menerusi hantaran di Facebook. Pada Sabtu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu berkata, tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya. Ujar Anwar, pembaziran akan dielakkan di bawah pentadbirannya dan memaklumkan langkah itu sebagai mesej kepada ketua jabatan kerajaan yang lain untuk melakukan penjimatan. Ia dilihat sebagai langkah awal Anwar dalam mengotakan janjinya sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menjimatkan wang rakyat. Untuk rekod, Anwar dilantik menggalas jawatan Perdana Menteri pada 24 November lalu. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI