suria

Sebelum Anwar, Ismail Sabri pun pernah tolak guna kereta rasmi baharu... Duduk rumah sendiri, tak pindah Seri Perdana

Ismail Sabri juga pernah menolak menggunakan kenderaan rasmi yang disediakan untuk beliau.

PENDIRIAN Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menggunakan kenderaan mewah jenis Mercedes S600 yang dibeli oleh Jabatan Perdana Menteri sebelum beliau memasuki pejabat mendapat pujian ramai.

Namun pendirian berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah melakukan perkara sama.

Perkara itu dikongsikan bekas Pengarah Media dan Strategik Komunikasi kepada Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abd Kadir.

ARTIKEL BERKAITAN: Cakap serupa bikin... Anwar mula langkah jimat cermat, tolak guna kereta mewah Mercedes S600

"Keputusan Anwar menolak untuk menggunakan kenderaan rasmi (import) yang baharu bukan perkara luar biasa.

"Perdana Menteri Ke-9 juga pernah menolak untuk menggunakan kenderaan kalis peluru yang disediakan kerajaan untuk beliau.

"Sepanjang bergelar Perdana Menteri, Ismail Sabri lebih selesa menggunakan kenderaan jenis MPV yang telah digunakan oleh pentadbiran terdahulu," katanya menerusi perkongsian di Facebook pada Isnin.

Tambah Ruhaidini, selain itu Ismail Sabri juga enggan meluluskan permohonan untuk mengubahsuai pesawat khas (Perdana 1) bagi kegunaan rasmi Perdana Menteri.

"Ismail Sabri juga terus tinggal di rumah peribadi dan memilih untuk tidak berpindah ke Seri Perdana, meskipun kediaman rasmi Perdana Menteri telah indah diubahsuai," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain